Rape-aXe : Peranti Perangkap Perogol

Suatu malam pada tahun 1969, ketika Dr. Sonnet Ehlers berusia 20 tahun, dia telah didatangi seorang mangsa rogol dalam keadaan tidak bermaya. Matanya layu dan keadaannya tidak ubah seperti mayat hidup. Mangsa kemudian memandangnya dalam esak tangis dan berkata kalaulah di bawah ini ada gigi.

Bertitik tolak dari kejadian itu, Dr. Sonnet berjanji suatu hari nanti dia akan menghasilkan sesuatu bagi membantu wanita-wanita lain di luar sana. 4 dekad berlalu. Akhirnya Rape-aXe, kondom wanita ciptaannya tercipta. Ketika itu, fokusnya adalah dia mahu mengedarkan 30,000 kondom wanita secara percuma di pelbagai bandar di Afrika Selatan, tempat Piala Dunia berlangsung.

Banyak pengorbanan yang Dr. Sonnet lakukan demi melancarkan projek tersebut. Ini termasuklah menjual rumah dan keretanya. Dia nekad. Terlalu banyak air mata dan pengorbanan yang dia lihat khususnya wanita di Afrika selatan. 

Sebagai usaha mempertahankan diri, wanita-wanita ini sanggup memperjudikan keselamatan diri dengan memasukkan pisau cukur yang dibalut dengan span di bahagian sulit mereka. Kerana itu dia berharap ciptaannya dapat membantu ramai wanita dari menjadi hamba nafsu lelaki berhidung pelangi.

Menurut laporan CNN, rape-aXe akan dipakai seperti tampon dan apabila lelaki memasukkan zakar mereka ke dalam faraj, ianya akan melekat pada zakar. Hanya doktor yang dapat menanggalkan alat tersebut. 

Menurut Dr. Sonnet, 

Sakit, dia tidak boleh kencing mahupun berjalan. Jika dia cuba menanggalkannya sendiri, rape-aXe akan mencengkam zakarnya dengan lebih ketat. Bagaimanapun alat ini tidak akan merosakkan kulit.

Saya telah berunding dengan ramai pakar termasuklah pakar sakit puan dan psikologi dalam menghasilkan rape-aXe bagi memastikan alat ini selamat.

Namun di sebalik usahanya itu, pengkritik menyatakan, kondom wanita ciptaannya bukanlah penyelesaian jangka masa panjang. Mereka bimbang wanita bakal terdedah kepada lebih banyak keganasan apabila lelaki terperangkap dengan rape-aXe. 

Selain itu, menurut Victoria Kajja, seorang felo Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit di negara Afrika timur Uganda, alat tersebut adalah satu bentuk perhambaan. Rasa takut dan seterusnya memakai rape-aXe bagi mengelakkan diri dari diserang mewakili perhambaan yang tidak sepatutnya dikenakan ke atas wanita. Dia menambah, rape-aXe akan sentiasa mengingatkan wanita tentang kelemahan diri mereka.

Ia bukan sahaja memberikan mangsa rasa selamat yang salah, tetapi turut memberikan mereka trauma psikologi. Ia juga tidak membantu dengan masalah psikologi yang dihadapi mangsa selepas serangan.

Bagaimanapun, Victoria Kajja mengakui kelebihan kondom wanita itu ia dapat menegakkan keadilan. Ini berikutan wanita yang dirogol di kebanyakan negara Afrika sukar mendapat rawatan perubatan, dan harga untuk membuat ujian DNA bagi membawa pelaku ke muka pengadilan adalah mahal. 

Akhirnya mangsa hanya mendiamkan diri dan memendam rasa. Akibatnya jenayah rogol dilihat sesuatu yang biasa di kalangan masyarakat Afrika Selatan. Kes rogol berleluasa tetapi kurang pensabitan. 

Nota : Aku tak jumpa sumber bacaan lanjut. Tak pasti lepas Dr Sonnet Ehlers edarkan rape-aXe secara percuma, berjaya atau tak alat tu dipasarkan secara komersial.


Post a Comment

0 Comments