Misteri Kehilangan Bobby Dunbar

Kiri : Bruce. Kanan : Bobby Dunbar

Kehilangan Bobby Dunbar pada tahun 1912 telah memberi ruang dan peluang seorang kanak-kanak lain mengganti kehidupannya. Bobby merupakan anak sulung bagi pasangan Lessie dan Percy Dunbar. Dia dilaporkan hilang selepas dia bersama keluarganya bercuti ke Tasik Swayze di Louisiana pada 23 Ogos 1912. 

Pelbagai usaha telah dilakukan untuk mencari anak mereka. Ini termasuklah menangkap dan membelah perut buaya di Tasik Swayze dengan harapan Bobby dapat ditemukan. Tetapi usaha itu hanya sia-sia. Lessie dan Percy kemudiannya membuat satu hebahan selepas mempercayai anak mereka berkemungkinan besar telah diculik. 

Wang ganjaran sebanyak $6,000 akan diberikan kepada sesiapa yang memulangkan semula anak mereka. Namun ianya tetap tidak mendatangkan apa-apa hasil sehinggalah 8 bulan selepas itu, pihak polis berjaya menemui seorang kanak-kanak lelaki persis Bobby di Mississippi. 

Bersama kanak-kanak itu ialah William Cantwell Walters. Ketika polis menahannya, dia menidakkan sekeras-kerasnya yang kanak-kanak itu adalah Bobby sebaliknya Charles Bruce Anderson. Anak hasil hubungan terlarang antara adiknya dan juga seorang wanita bernama Julia Anderson. 

Tambahnya lagi, Bruce ditinggalkan bersamanya kerana Julia pergi mencari pekerjaan. Walaupun pelbagai alasan di berikan, Walters tetap ditahan polis atas tuduhan menculik. Pasangan Dunbars kemudiannya dimaklumkan tentang penemuan kanak-kanak tersebut dan mereka segera datang ke Mississippi untuk berjumpa dengan anak mereka yang telah hilang selama 8 bulan.

Ada laporan menulis, pertemuan itu berlaku dalam suasana penuh bahagia apabila kanak-kanak itu terus memanggil ibu sejurus melihat Lessie. Namun ada pula laporan lain menulis, kanak-kanak itu mula menangis serta menunjukkan reaksi takut terhadap Lessie dan Percy.

Sementara itu, Lessie dan Percy turut seakan-akan meragui yang kanak-kanak itu adalah Bobby. Lessie sendiri mengungkapkan,

Saya tidak tahu dan tidak pasti

Media juga ada melaporkan yang ketika Bobby bertemu adiknya, Alonzo Dunbar, dia tidak menunjukkan sebarang reaksi. Kaku.

Lessie bagaimanapun hanya meyakini kanak-kanak yang dijumpai itu adalah anaknya selepas melihat parut dan tahi lalat yang berada di tubuhnya ketika memandikan kanak-kanak itu. Pada 25 April 1913, akhirnya pasangan Dunbar membawa pulang Bobby ke rumah mereka. Kepulangan Bobby telah disambut dengan perarakan dan juga pesta besar.

"Bobby" bersama keluarga barunya

Pada 1 Mei, beberapa hari selepas kepulangan Bobby ke rumah keluarganya, seorang wanita bernama Julia Anderson telah muncul bagi mempertahankan kenyataan Walters yang kanak-kanak itu bukan Bobby sebaliknya anaknya Bruce. Namun kenyataan Julia sangat tidak menyakinkan apabila dia menunjukkan reaksi sama seperti Lessie ketika bertemu kanak-kanak itu. 

Julia meluahkan yang dia tidak pasti samaada kanak-kanak itu Bruce ataupun bukan. Lebih mengelirukannya, saat Bobby bertemu dengan Julia, Bobby langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi, seolah-olah tidak pernah mengenali Julia. 

Keesokan harinya, Julia sekali lagi diberi peluang untuk berjumpa Bobby dan dia menanggalkan pakaian kanak-kanak itu. Selepas membelek Bobby, barulah dia yakin yang itu anaknya dan berhajat membawanya pulang. Namun, cerita tentang kegagalannya mengenal pasti anaknya sebelum ini telah tersebar luas. Jadi kenyataan Julia pada hari itu dianggap tidak sah dan ditolak mentah-mentah. 

Di tambah pula ketika itu media membangkitkan isu moralnya yang teruk kerana telah melahirkan anak luar nikah seramai dua orang. Sedar yang dia tidak mampu untuk membayar peguam, Julia pulang dengan tangan kosong ke North Carolina. Tetapi tidak lama selepas itu, dia kembali semula ke Louisiana untuk membantu membebaskan Walters dari pertuduhan yang dikenakan ke atasnya. 

Kali ini Julia tidak berseorangan. Dia ditemani penduduk Poplarville Mississippi yang lain. Mereka menyatakan yang kanak-kanak itu telah di lihat bersama Walters sebelum Bobby hilang lagi. Kanak-kanak itu sememangnya Bruce anak lelaki Julia. Walaubagaimanapun, mahkamah tetap juga menolak hujah saksi-saksi ini dan memutuskan anak itu adalah anak kepada pasangan Lessie dan Percy Dunbar. 

Sejak dari itu, kanak-kanak yang dijumpai di Mississippi menjalani kehidupan sebagai Robert Clarence Dunbar atau lebih dikenali sebagai Bobby Dunbar sehingga akhir hayatnya. Manakala Walters yang pada mulanya dikenakan hukuman penjara seumur hidup kerana menculik Bobby, telah dibebaskan pada tahun 1915 hasil kebijaksanaan peguam yang membelanya.

Kisah ini terkubur selama berpuluh tahun sebelum digali semula. Cucu perempuan Bobby iaitu Margaret Dunbar Cutright yang meragui keturunannya telah bertindak mengkaji semula asal usulnya. Dia tidak keseorangan apabila dia turut dibantu oleh Linda Travers, salah seorang anak Julia Anderson. Mereka akhirnya bersepakat untuk meleraikan segala persoalan dengan membuat ujian DNA.

Pada tahun 2004, Margaret telah meminta sampel DNA bapanya, Bob Dunbar Jr untuk dibandingkan dengan DNA sepupu bapanya, anak kepada Alonzo Dunbar. Akhirnya, keputusan DNA yang keluar telah merubah jalan cerita salasilah keturunan Bobby Dunbar. Dia rupa-rupanya tiada kaitan langsung dengan keluarga Dunbar. Anak kecik yang ditemui di Mississippi pada tahun 1913 dan kemudiannya dituntut di mahkamah untuk dibuktikan sebagai anak pasangan Lessie dan Percy Dunbar rupa-rupanya adalah Bruce, anak kepada Julia Anderson. 

Pada tahun 2008, Hollis anak lelaki Julia Anderson mendedahkan kepada This American Life, yang Bobby Dunbar ataupun Bruce Anderson pernah datang melawatnya. Kejadian itu berlaku pada tahun 1944. Adik perempuan Hollis, Jules, turut menceritakan yang Bobby telah datang ke tempat kerjanya dan mereka berborak panjang. Keluarga Dunbar kemudiannya mendedahkan yang ketika mereka melewati Poplarville, Bobby Dunbar menyatakan "mereka itulah yang datang untuk menjemput saya pulang."

Persoalannya, apa yang sebenarnya terjadi kepada Bobby Dunbar pada tahun 1912? Ada pendapat menyatakan yang dia sebenarnya telah mati lemas di tasik Swayze dan kemudian mayatnya dimakan oleh buaya. Sementara itu ada juga yang membuat tuduhan keatas Lessie dan Percy Dunbar. Mereka menuduh pasangan itu menuntut Bruce sebagai anak mereka demi menutup jenayah yang mereka telah lakukan kepada Bobby.

Persoalan yang lain juga timbul. Adakah Bruce sebenarnya langsung tidak mengetahui siapa dirinya? Ataupun dia hanya berpura-pura? 

Baca juga Kisah Raven : Dibuang Keluarga Kandung, Disayangi Keluarga Angkat 

Post a Comment

0 Comments