Mangsa Pembunuhan Yang Merungkai Kematian Sendiri

KISAH 1

Simon Ng, 18 tahun, menjadikan blog sebagai tempat dia meluah rasa. Hampir setiap perkara yang berlaku dalam hidupnya diluah di blog dan hari itu, pada 12 Mei 2005, Simon menulis seperti biasa. Tulisan yang dia tidak akan pernah sangka menjadi tulisannya yang terakhir dan bakal membawa pembunuhnya meringkuk di dalam penjara.

Hari ini saya tidak hadir ke kelas bahasa Jepun kerana sakit tekak. Saya hanya pergi ke kelas sekali sahaja minggu ini, jadi saya mungkin sudah jauh ketinggalan. Saya akan tekun belajar pada musim panas nanti, jadi jangan risau hehe. Oh harini agak pelik, pada pukul 3 seorang lelaki datang membunyikan loceng.

Saya turun dan mengenalinya dia bekas kekasih kakak saya. Dia memberitahu, dia mahu kembali pancingnya. Saya menyuruhnya menunggu di tingkat bawah sementara saya pergi mendapatkannya. Semasa saya sedang mencari, dia sudah berada di dalam rumah. Dia masih di sini sekarang, merokok, berjalan-jalan dengan kasutnya walhal lantai itu baru saya basuh 2 hari lepas! Harap-harap dia akan pergi tidak lama lagi.

Malangnya lelaki yang bernama Jin Lin itu tidak beredar sebaliknya bertindak membunuh Simon dengan menikamnya berulang kali di dada dan leher menggunakan pisau pemotong daging. Sebelum itu, Lin terlebih dahulu menyerang dan mengikat Simon dengan pita pelekat. Dia kemudiannya menggeledah rumah untuk mencari wang. 

Ketika kakak Simon, Sharon pulang ke rumah sekitar jam 9 malam, Lin yang telah lama menunggu terus menyerang dan menikam bekas kekasihnya itu. Menurut laporan, Sharon sempat menghubungi teman lelakinya untuk meminta bantuan. Kekasihnya yang tiba selepas itu bagaimanapun gagal menyelamatkan Sharon. Sharon yang berlumuran darah ditemui di atas katilnya. Sementara Simon ditemui di atas lantai. Manakala senjata pembunuhan yang berukuran lapan inci ditemui di dalam tandas. 

Pada mulanya Lin menafikan penglibatannya dalam insiden pembunuhan tersebut namun isi kandungan blog yang ditulis Simon menjadi bukti kukuh yang Lin berada di lokasi kejadian pada hari itu. Menurut Lin, motifnya adalah untuk mendapatkan wang tetapi terdapat dakwaan yang itu bukanlah motif pembunuhan. Lin dikatakan sengaja mencipta situasi seolah-olah rumah itu dirompak. Lin yang didapati bersalah, dihukum penjara seumur hidup tanpa parol pada tahun 2008.

KISAH 2

Teresita Basa ialah seorang wanita dari Filipina yang mayatnya ditemui secara misteri di apartmennya di Chicago pada tahun 1977. Selepas beberapa bulan tanpa sebarang petunjuk, detektif akhirnya berjaya mengenalpasti identiti suspek dengan bantuan roh Basa. 

Pada 21 Februari 1977, Ruth Loeb, ada menghubungi Basa dan mereka berbual selama kira-kira 30 minit. Dalam perbualan itu, Basa memberitahu yang ada seorang rakan mahu datang ke rumahnya tetapi Basa tidak menyatakan secara terperinci siapa dia atau tujuannya datang ke rumah. 

Satu jam selepas panggilan tersebut, sepasukan bomba tiba ke apartmen Basa selepas jiran mengadu terhidu bau asap dari arah rumahnya. Mayat Basa kemudiannya telah ditemui dalam keadaan tidak berpakaian dan terbakar di bawah tilam. Di dadanya pula masih tertacak sebilah pisau. 

Walaupun mayatnya dijumpai dalam keadaan tanpa seurat benang, penyiasat akhirnya mengesahkan tiada tanda-tanda yang Basa dirogol. Lebih merumitkan, kes ini dilihat seolah-olah tiada motif, tiada petunjuk dan tiada peluang untuk diselesaikan.

Sehinggalah polis mendapat satu panggilan telefon dari Dr. Jose Chua, rakan sekerja Basa. Menurut Dr. Chua, isterinya yang bernama Remy telah dirasuk roh Basa.

Doktor tolong saya. Lelaki yang membunuh saya masih bebas. 

Saya sangat terkejut dan takut. Bila saya tanya namanya dia menjawab. Ako 'y (saya) Teresita Basa. Tetapi dia memberitahu saya tiada apa yang perlu saya takutkan. Dia merayu supaya saya membantu menyelesaikan kes pembunuhannya.

Rasukan itu terjadi dari semasa ke semasa yang mana akhirnya roh Basa dikatakan menuding jari pada Allan Showery, rakan sekerjanya. Menurut Basa, Allan telah datang ke apartmennya pada hari kejadian untuk membaiki televisyen. Malangnya dia telah ditikam dan barang kemasnya dicuri sebelum dia dibakar.

Roh Basa juga mendedahkan Allan mencuri barang kemasnya untuk diberikan pada teman wanitanya. Walaupun cerita itu sukar untuk dipercaya, polis tetap pergi ke apartmen Allan untuk menjalankan siasatan dan apa yang mengejutkan adalah segala yang dikatakan Basa melalui bibir Remy, benar belaka. Barang kemasnya yang berupa cincin mutiara dan loket jed ada dalam simpanan koleksi perhiasan teman wanita Allan. Menurut wanita itu, barang kemas tersebut adalah miliknya. Ia pemberian Allan sebagai hadiah Krismas. 

Walaupun pada mulanya Allan menafikan  penglibatannya namun selepas perbicaraan pertama, Allan akhirnya mengaku bersalah atas pembunuhan Basa pada 23 Februari 1979. Dia dijatuhi hukuman penjara selama 14 tahun dan pada tahun 1983 dia telah dibebaskan dengan Parol. Perbicaraan kes ini digelar sebagai Voice From The Grave. Persoalannya?

Benarkan roh Basa menghantui tubuh Remy? Atau ini sekadar agenda Remy memandang Remy dan Allan bukanlah orang asing. Allan, Remy dan Basa merupakan rakan sekerja di Hospital Edgewater.

Menurut sumber, Remy dikatakan mengesyaki Allan membuat aduan mengenai kualiti kerjanya di hospital yang menyebabkan dia kehilangan pekerjaannya. Namun masih ramai yang percaya dunia paranormal itu sememangnya wujud dan roh Basa benar-benar merasuki tubuh Remy bagi menuntut keadilan atas kematiannya. 

Nota : Filem Teresita Basa telah difilemkan pada tahun 1996 dengan tajuk Voice From The Grave. Link movie aku ada letak di FB




Post a Comment

0 Comments