Misteri Kehilangan Nicholas Francisco. Tinggalkan Isteri Hamil Dan Dua Orang Anak.

Boleh bayang tak kalau suami kita yang penyayang dan ambil berat tentang kehidupan kita dan anak-anak tiba-tiba hilang tanpa dapat dikesan dalam tempoh yang lama. Nak-nak lagi kalau suami tu sejenis yang tak boleh berenggang. Mesti risau gila kan. Macam tu lah yang Christine Carter rasa. Suami dia, Nicholas Francisco, dikhabarkan seorang lelaki yang cukup sempurna. Bukan hanya pada pandangan Carter tetapi juga diakui oleh rakan-rakan Francisco. 

Carter dan Francisco bertemu dan berkenalan ketika mereka sama-sama belajar di sekolah seni. Kali pertama melihat Francisco, hati Carter cair. Lelaki itu sempurna di matanya. Mereka berkongsi segala cerita termasuklah kisah pengalaman zaman kecik mereka yang teruk. Ayah Francisco meninggalkan keluarga ketika dia berumur 16 tahun manakala Carter didera sewaktu kecil. Dari situ wujudnya keserasian, keselesaan dan rasa selamat di antara satu sama lain. Bagi Carter, dia melihat Francisco sebagai seorang lelaki yang boleh dipercayai. Akhirnya pada tahun 2001 mereka mengambil keputusan untuk berkahwin.

Dengan kehadiran Zea, Noah dan bayi yang sedang Carter hamilkan telah menambahkan lagi kebahagian keluarga ini. Francisco sebagai ketua keluarga di lihat sangat cemerlang dalam semua aspek termasuklah kerjayanya. Dia bekerja sebagai pengarah seni untuk satu agensi pengiklanan yang terkenal. Walaupun ada masanya diuji dengan masalah kewangan tetapi bagi Carter, kehidupannya bersama Francisco sangat baik. 

Dia ada segala kriteria yang saya impikan selama ini. Saya rasa diri saya seperti Cinderella.

Namun, kebahagian yang Carter kecapi akhirnya berakhir apabila Francisco tidak pulang ke rumah seperti biasa selepas keluar ke tempat kerja pada tahun 2008. Pada pagi itu sebelum berangkat ke tempat kerja, seperti biasa Francisco datang kepada isterinya untuk mencium dan mengucapkan rasa sayang. 

Oh my sweet Bella, I love you.

Itu adalah ucapan sayang yang terakhir dari Francisco sebelum dia berlalu pergi. Pada petang hari yang sama Francisco hilang, dia dilaporkan ada menghubungi Carter dan berjanji akan segera pulang namun itu tidak terjadi.

Ini bukan dia. Dia akan menghubungi saya. Sebelum ini kalau dia lambat pulang ke rumah, dia akan terus menghubungi saya. 

Masa berlalu. Kelibat suaminya tidak juga kelihatan. Selepas menidurkan anak-anaknya, Carter menghubungi talian 911 pada jam 10 malam tetapi mereka memintanya supaya menunggu lagi beberapa jam. Carter buntu. Semua kenalan, keluarga bahkan hospital yang dia hubungi gagal memberinya jawapan tentang keberadaan suaminya itu. Pada jam 1 pagi, Carter menghubungi semula talian 911.

Tolonglah faham. Dia bukan seperti lelaki lain. Lelaki ini takkan tinggalkan saya. 

Mengenai Francisco, rata-rata rakannya menyenangi sikap lelaki itu. Dia seorang yang menyeronokkan. Rakan baiknya, Matt Donovan, menyatakan Francisco seorang yang baik walaupun kadang-kadang bersikap sedikit gila. Namun bagi Kristina Muller-Eberhard, penyelia di Publicis tempat Frascisco bekerja, dia melihat Francisco sebagai seorang yang agak misteri. 

Ada sedikit sisi gelap dalam diri Francisco. Dia ini bermasalah dan ada banyak benda yang dia sembunyikan. 

Menurut detektif John Holland,

Kami tak nampak apa-apa motif. Dia tidak terlibat dengan dadah ataupun mempunyai masalah dengan sesiapa. Dia hanyalah lelaki biasa. 

Walaupun kereta Toyota milik Francisco berjaya ditemui seminggu selepas kehilangannya tetapi keberadaannya masih gagal dikesan. Semua pihak giat mencari Francisco termasuklah isterinya. Walaupun sedang hamil, dia sanggup turun ke jalanan selama berjam-jam bagi mengedar dan menampal poster suaminya. Berita mengenai kehilangan Francisco secara misteri ini dengan pantas mendapat liputan meluas media sehingga muncul di laman web America's Most Wanted.

Kisah kehilangan Francisco kemudiannya telah membawa pelbagai agensi serta sukarelawan datang dan menghulurkan sumbangan kepada Carter dalam bentuk wang, pakaian dan makanan. Kerana sumbangan itu, mulalah desas desus yang sebenarnya Francisco dibunuh isterinya sendiri. Motifnya tidak lain tidak bukan adalah kerana mahu membolot insurans kematian dan sumbangan dari orang ramai. Carter telah dipanggil untuk disoal siasat dan dia dengan keras menafikan tuduhan itu.

Saya dituduh dengan sesuatu yang tak pernah langsung terlintas dalam fikiran saya. Bunuh dan menipu suami sendiri semata-mata untuk mendapatkan sumbangan. Apa yang saya mahu adalah dia segera ditemukan. 

Selepas dari itu, pencarian diteruskan dan semua mayat di kawasan itu diperiksa. Mereka juga berusaha mendapatkan rekod panggilan telefon bimbit Francisco tetapi gagal kerana mahkamah tidak membenarkannya. Ini kerana masih belum jelas kejahatan yang Francisco lakukan. Pencarian suami Carter seakan menemui jalan buntu sehinggalah penyiasat menjumpai resit pembelian kondom di meja tempat Francisco bekerja. Carter segera dihubungi. 

Tidak mungkin. Saya sedang hamil. Kami memang merancang dan berusaha untuk mendapatkan bayi. Kami tidak memerlukan kondom.

Penggilan telefon dari polis dan memberitahu tentang penemuan resit kondom di meja suaminya membuatkan hatinya galau. Carter kemudian meyakinkan dirinya, mungkin kerani tempat suaminya bekerja yang tersalah letak namun ketika dia menemui sendiri bukti di komputer riba suaminya, dia mula tersedar. Rupanya dalam diam, suaminya ada menyimpan sejumlah wang di akaun bank rahsia dan telah menggunakannya untuk membeli sesuatu di luar pengetahuannya. 

Saat dia melayan dan menyuap anak-anaknya makan di rumah, suaminya  pula sedang berseronok makan di luar. Hatinya sakit. Suami yang sangat sempurna di matanya rupa-rupanya bermain helah selama ini. Sementara itu, polis telah berjaya mendapatkan kebenaran untuk melihat rekod panggilan telefon Francisco. Dari situ mereka mengetahui, dalam diam Francisco menjalani dua kehidupan yang berbeza. 

Bukan sahaja seorang penipu tetapi dia juga rupanya buaya darat dan mempunyai ketagihan pada seks. Nama gelarannya di Internet ialah, Fun Time Steve dan Horny Steven. Manakala halaman MySpace miliknya menyenaraikan minatnya terhadap wanita, pasangan, seks dan berbogel. Dia turut meletakkan orientasi seksualnya sebagai 'bi'. Dari semua petunjuk yang diperoleh telah membawa polis dan Carter ke sebuah kelab seks Wet Spot di Seattle yang kerap dikunjungi Francisco. 

Saya rasa sangat jijik. Saya seperti orang bodoh. 

Kehidupan sempurna yang Francisco beri telah menutup mata dan hatinya untuk melihat atau menghidu helah suaminya. Carter akhirnya memfailkan penceraian dan dia selamat melahirkan seorang bayi lelaki. Ceritanya tidak selesai di sini. Ada sesuatu yang terpaksa Carter tanggung selepas pemergian Francisco. Selain dia kehilangan tempat tinggal kerana rumahnya disita, dia terpaksa menanggung hutang pinjaman pelajaran yang suaminya tinggalkan.

Selepas setahun lebih Francisco menghilangkan diri, akhirnya pada November 2009 dia berjaya dijejaki. Saat Carter bersusah payah menjaga dan mendidik anak-anaknya serta menanggung hutang yang ditinggalkan, Francisco pula beronok-ronok di California. Dia pernah ditemuramah dengan satu stesen televisyen. Tanpa rasa bersalah dia menyatakan dia mahu anak-anaknya menganggap dia telah mati. Dia turut menambah, di dalam dunia ini ramai anak yang tidak mempunyai bapa.

Sekarang, Carter telah pun menemui pengganti suaminya. Zea anak sulungnya kerap bertanya mengapa bapanya tinggalkan mereka. Jawapan Carter tetap sama,

Dia tidak lagi mahu menjadi seorang ayah kerana dia seorang yang mementingkan dirinya sendiri. 


Nota : Sakit hati? Sejukkan hati korang dengan baca kisah cinta pasangan suami isteri yang terpisah selama 15 tahun sebelum akhirnya bersatu semula. Cinta Sejati. Bersatu Selepas 15 Tahun Terpisah 


Post a Comment

0 Comments