Kisah Anthony Sowell : Kebumi 11 Mayat Mangsanya Di Dalam Dan Di Luar Rumah

Anthony Sowell adalah seorang perogol dan pembunuh bersiri yang di kenali sebagai Cleveland Strangler selepas 11 mayat mangsanya berjaya ditemui di rumahnya di Cleveland, Ohio pada tahun 2009. Bermula dari tahun 2007 hingga 2009, Sowell memperdaya mangsanya dengan dadah dan juga arak. Wanita-wanita ini kemudiannya akan dirogol, didera dan dicekik hingga mati di dalam rumahnya. 

Sowell dilahirkan di Cleveland pada 1959 dan dibesarkan oleh ibunya, Claudia, serta neneknya selepas bapanya meninggalkannya ketika dia masih kecil. Dipercayai, dia serta adik beradiknya yang lain dibesarkan dalam persekitaran tidak sihat. Dia melihat penderaan seksual dan fizikal yang dilakukan ibunya terhadap sepupunya, Leona Davis. 

Menurut Leona, dia dan 6 orang lagi adik beradiknya tinggal bersama keluarga Sowell selepas ibunya meninggal kerana masalah kesihatan. Ketika itu dia baru berusia 8 tahun, namun terpaksa menelan segala keperitan akibat didera keluarga Sowell. Dia serta 2 orang kakaknya dipaksa berbogel di hadapan kanak-kanak lain. Kemudian Claudia akan mengikat mereka pada selusur tangga sebelum memukul mereka menggunakan wayar elektrik sehingga berdarah.

Manakala Sowell serta adik beradiknya yang lain hanya menjadi pemerhati penderaan tersebut. Leona pernah beberapa kali melarikan diri dari rumah Sowell namun akhirnya dia kembali semula ke rumah itu selepas polis menghantarnya. Akibatnya dia dipukul teruk oleh Claudia hingga berdarah. 

Dia mengambil kasut tumit tinggi dan memukul saya di kepala.

Menginjak usia 10 tahun, penderaan ke atas Leona semakin teruk. Tubuhnya yang mula membentuk menarik perhatian kanak-kanak lelaki di rumah itu semasa Claudia memaksanya menanggalkan pakaian. Suatu hari, Sowell yang baru berusia 11 tahun telah memaksanya masuk ke dalam bilik di tingkat 3 sebelum menanggalkan pakaian serta merogolnya. 

Leona tiada pilihan selain berdiam diri dan pemerkosaan itu kemudiannya terjadi hampir setiap hari. Bukan sahaja dirogol Sowell, dia turut diperkosa lelaki lain yang berada di dalam rumah tersebut. Malah abang kandungnya sendiri mula merogolnya. Leona akhirnya terpaksa membuat onar supaya dia dimasukkan ke dalam pusat pemulihan dan helahnya itu menjadi.

Di sana saya dikurung dan tiada sesiapa lagi dapat menyakiti saya.

Leona, 50, dipanggil ke mahkamah untuk memberi keterangan berhubung kes rogol dan bunuh yang dilakukan Sowell. Parker, peguambela Sowell menyatakan, Sowell masih kanak-kanak tetapi terpaksa melihat penderaan ke atas Leona. Kerana itu Sowell juga adalah 'mangsa' sejak kecil. Parker juga mendakwa rumahnya terlalu besar, boleh jadi Sowell juga didera tanpa pengetahuan kanak-kanak lain. 

Namun pendakwa membalasnya dengan menyatakan, Leona didera dengan sangat teruk tetapi dia tidak berakhir seperti Sowell. Dia tidak mengambil dadah dan arak untuk melupakan memori hitamnya serta tidak pernah mencuba membunuh orang lain semata-mata mahu memadam memori itu. 

Sebelum ini, pada 22 September 2009 Latundra Billups telah datang ke rumah Sowell. Selepas minum bersama Sowell dikatakan mengamuk, memukul, merogol serta menjerutnya dengan wayar hingga  tidak sedarkan diri. Ketika dia tersedar, Sowell kelihatan terkejut tetapi oleh kerana dia berjanji akan memberikannya wang dan tidak melaporkan kejadian itu kepada polis, dia dilepaskan. 

Sebulan selepas itu iaitu pada 20 Oktober 2009, Shawn Morris telah datang ke rumah Sowell untuk minum dan juga dadah. Dia kemudiannya meninggalkan rumah itu tetapi berpatah semula kerana tertinggal ID dan ketika itulah suspek bertindak menyerangnya. Namun dia berjaya menyelamatkan diri dari menjadi mangsa Sowell dengan keluar melalui tingkap tingkat atas dalam keadaan tanpa seurat benang . 

Jiran suspek yang melihat kejadian itu kemudiannya telah menghubungi talian 911 tetapi oleh kerana Morris enggan disoal siat, kes ini berlalu tanpa apa-apa tindakan sehinggalah Billups datang ke balai polis dan menceritakan serangan yang dilakukan Sowell ke atasnya pada 22 September lalu. Rentetan dari aduan Billups, waran tangkap terhadap Sowell telah dikeluarkan pada 29 Oktober 2009 namun semasa polis datang ke rumahnya, mereka bukannya disambut oleh Sowell sebaliknya disambut dengan penemuan 2 mayat yang telah reput. 

Sehari kemudian, polis menemui 3 lagi mayat dan jumlah keseluruhan mayat yang dijumpai di dalam dan di luar rumah Sowell adalah seramai 11 orang. Sowell berjaya ditahan polis pada 31 Oktober 2009 iaitu 4 tahun selepas dia bebas dari penjara. Sowell yang merupakan bekas tentera laut A.S. pernah dipenjarakan selama 15 tahun atas kesalahan menculik dan merogol seorang wanita hamil 3 bulan pada tahun 1989. 

Dia dibebaskan pada tahun 2005 ketika usianya 45 tahun dan pada tahun 2007 dia mula merogol dan membunuh mangsa-mangsanya sebelum menyimpan dan mengebumikan mayat mereka di kawasan rumahnya. Antara penemuan mengerikan ialah tengkorak mangsanya yang dibungkus dengan beg kertas dan diletakkan di dalam baldi. 

Sementara itu, bau busuk mayat yang mereput sebenarnya telah dihidu kejiranan Sowell dalam tempoh yang lama tetapi mereka tidak pernah menyangka bau yang mereka sedut saban hari itu datangnya dari mangsa-mangsa Sowell. Selama ini mereka menganggap bau busuk itu datangnya dari kilang sosej yang terletak berhampiran rumah mereka. 

Sowel telah disabitkan kesalahan pada tahun 2011 dan dijatuhi hukuman mati namun belum pun sempat hukuman dijalankan, media The Sun melaporkan pada Februari 2021, Sowell telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di penjara pada usia 61 tahun kerana sakit. Namun jabatan penjara mengesahkan kematian Sowell bukan disebabkan COVID-19.


Post a Comment

0 Comments