Josephine Iyamu Memperdagang Wanita Demi Menjalani Hidupnya Yang Mewah

Josephine Iyamu, 51, menjadi warganegara Britain pertama yang didakwa atas kesalahan memperdagang manusia atas tujuan seks. 

Iyamu yang merupakan jururawat di London telah dijatuhi hukuman penjara selama 14 tahun oleh Mahkamah Birmingham pada tahun 2018 selepas dia didapati bersalah memperdagang wanita Nigeria ke Jerman untuk dijadikan sebagai hamba seks.

Modus operandinya mudah, dia akan memancing wanita-wanita dari luar bandar Nigeria yang lemah dan mudah terpedaya dengan janji akan memberi mereka kehidupan yang lebih baik di Eropah. 

Dia kemudiannya mengatur segala urusan perjalanan mangsa dan sebagai pertukaran, mereka perlu membayar antara 30,000 hingga 38,000 euro kepada Iyamu. Setibanya di Jerman, mereka akan ditempatkan di rumah pelacuran dan bekerja sebagai hamba seks untuk membayar hutang mereka. 

Sebelum itu, Iyamu dipercayai memaksa kesemua mangsanya melakukan ritual voodoo (sihir) dengan memerintahkan mereka memakan organ dalaman ayam serta minum darah yang berisi cacing. Kulit mangsanya turut dikelar dengan pisau cukur dalam ritual tersebut dan mereka perlu berjanji akan membayar hutang, tidak akan melarikan diri serta tidak melaporkan kepada polis.

Pendakwa raya menyatakan, ritual itu membolehkan Iyamu mengawal mangsanya. Mereka akan merasa takut dan tidak melawan. Semasa perbicaraan mahkamah, lima orang mangsa Iyamu memberikan bukti melalui pautan video dari Jerman. 

Mereka memperincikan keadaan mereka yang menakutkan sepanjang perjalanan mereka menuju ke Jerman. Mereka diserang secara seksual, diperkosa malah ada yang mati dibunuh. Menurut BBC, pendapatan Iyamu yang berkerja sebagai jururawat hanya sekitar £ 14.500 pada tahun 2016/17.

Namun oleh kerana kegiatannya melacur wanita-wanita lemah, dia mampu menghabiskan ribuan ringgit untuk melakukan perjalanan udara serta mampu membeli rumah besar di Bandar Benin di Nigeria.

Iyamu dan suaminya ditahan pegawai NCA semasa mereka mendarat di lapangan terbang Heathrow dalam penerbangan dari Lagos pada 24 Ogos 2017. Namun suami Iyamu kemudiannya didapati tidak bersalah dalam kegiatan jahat isterinya.

Analisis forensik mengesahkan salah satu telefon bimbit Iyamu telah digunakan secara berkala untuk membuat panggilan, menerima panggilan dan mesej dari mangsanya di Jerman. Sudah menjadi kelaziman, Iyamu akan menghubungi mangsanya untuk mengancam dan mengingatkan mereka berapa banyak hutang yang mereka ada.

Seorang mangsa Iyamu menceritakan, dia yang mengandung selepas dirogol ketika perjalanan menuju ke Jerman telah dipaksa menggugurkan kandungannya dan Iyamu mengenakan cas tambahan £ 440 untuk prosedur tersebut. Pengurus operasi NCA Kay Mellor menyatakan,

Josephine Iyamu adalah individu yang menggunakan statusnya sebagai wanita kaya, kuat dan berpengaruh untuk memanipulasi wanita Nigeria yang lemah. 

Tanpa menghiraukan keselamatan dan kesejahteraan mereka, dia menghantar mereka ke Jerman dan memaksa mereka bekerja di rumah pelacuran untuk membiayai gaya hidupnya yang mewah. 

Baginya, wanita-wanita ini bukan manusia yang mencari kehidupan yang lebih baik. Mereka hanyalah komoditi yang dapat dimanfaatkan untuk menjana pendapatan dirinya sendiri. 

Saya memuji keberanian lima wanita yang tampil dan menceritakan kisah penderaan mereka. Terima kasih kepada mereka, Iyamu tidak lagi boleh menimbulkan ancaman kepada orang lain.


Nota : Pada September 2018, media melaporkan hukuman Iyamu bertambah dari 14 menjadi 18 tahun penjara. 

Aku pernah buat kisah Karla Jacinto, salah seorang mangsa pemerdagangan manusia. Baca sini  Karla Jacinto, Dirogol Lebih 40,000 Kali



Post a Comment

0 Comments