Jenayah Brunei : Kematian Voon Su Ching


Jarang kan dengar kes jenayah membabitkan negara Brunei tetapi kes kehilangan Voon Su Ching, 39, pernah hangat satu ketika dulu. Voon dilaporkan hilang sejak 13 Februari 2013 selepas dia keluar dari rumahnya pada jam 11 pagi.

Hari itu merupakan hari ulangtahun kelahiran anak lelaki saya dan dia keluar kerana mahu membeli kek sekitar jam 11 pagi dan selepas itu dia tidak pulang. Saya ada cuba menghubunginya, berkali-kali tetapi tidak dapat. Pada malamnya barulah saya menghubungi polis supaya mereka mencari isteri saya. Isteri saya tidak akan meninggalkan kami kerana dia seorang isteri dan ibu yang penyayang. Dia sayangkan anak kami.

Selepas hampir seminggu, mayat Voon akhirnya ditemui di rumah rakannya, Mary, di Salambigar. Menurut Mary, dia yang pergi bercuti sempena Tahun Baru Cina ada berpesan pada Voon supaya menjaga rumahnya semasa ketiadaannya. 

Dia yang pulang ke rumah pada hari ahad telah melihat sesuatu yang ganjil iaitu terdapat lapisan simen di perkarangan rumahnya namun tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah dia mengetahui yang Voon telah hilang berhari-hari. 

Sementara itu, suami Voon yang mendapat tahu isterinya mempunyai kunci pendua rumah Mary telah datang ke rumah Mary bersama adik iparnya. Di sana mereka diberitahu tentang simen yang sebelum ini tiada. Selain berbau basuk, lalat juga banyak di sekitar kawasan simen tersebut. 

Suami Voon kemudiannya menghubungi syarikat yang menghantar batu dan simen ke rumah Mary dan mereka telah memberikan nama serta nombor telefon seorang lelaki bernama Ali Ahmad. Nombor telefon Ali Ahmad didail dan mereka memintanya supaya datang ke rumah Mary di Kg Salambigar. 

Selepas itu mereka menghubungi pula polis untuk memberitahu tentang penemuan simen di rumah Mary. Tidak lama kemudian seorang lelaki tiba tetapi dia bukanlah Ali Ahmad, sebaliknya dia adalah Hj Harith Hj Bakir, 49 tahun, bapa kepada 4 orang anak. Hj Harith menggunakan nama Ali Ahmad bagi mengaburi kesalahannya.

Batu dan simen kemudiannya dipecahkan dan selepas empat jam setengah barulah mayat Voon berjaya dikeluarkan. Duit dan barang-barang milik Voon yang dinyorokkan di pejabat Hj Harith di Kolej Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah berjaya ditemui polis pada 19 Februari 2013.

Ceritanya, Hj Harith dan Voon yang menjalin hubungan sulit telah bertemu serta menghabiskan masa bersama di rumah Mary pada pagi 13 Februari. Selepas berhubungan seks, tiba-tiba Voon dikatakan sukar untuk bernafas sebelum jatuh ke lantai dan meninggal dunia. 

Hj Harith yang berasa panik nekad menyembunyikan kematian Voon. Dia bukan sahaja tidak melaporkan kematian Voon kepada polis, malah dia turut membuang dan menyembunyikan bukti supaya kehadirannya bersama Voon pada saat kematiannya tidak diketahui sesiapa.

Hj Harith membuang mayat Voon di dalam parit sepanjang 10 kaki di kawasan rumah Mary. Dia kemudian menggunakan zink dan pokok renek di sekitarnya untuk menutup mayat Voon. Selepas membersihkan rumah, Hj Harith memandu kereta Voon dan meninggalkannya di belakang stesen janakuasa berhampiran Kg Salambigar sebelum berjalan pulang semula ke rumah Mary. 

Dia seterusnya mengambil wang milik Voon bernilai $7,167.90, RM803.85, duit syiling lima sen Singapura, loket emas serta Kad Easi $ 40 dan memandu pulang ke rumah dengan keretanya. Kehilangan Voon telah membawa polis menyoal siasat Hj Harith memandangkan mereka adalah kawan. Ketika itu dia mengakui ada menghubungi Voon namun sekadar mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina.

Selepas disoal siasat polis, ketakutan mula menghantuinya. Dia takut tembelangnya pecah. Kerana itu, dia mengambil duit Voon sebelum memesan batu dan simen berharga $ 1,178 pada 16 Februari 2013 dengan menggunakan nama Ali Ahmad. 

Dia seterusnya mengarahkan pemandu trak menimbus parit, tempat mayat Voon disembunyikan dengan menuang batu diikuti dengan simen. Dia kemudiannya memberi pemandu $150 sebagai upah mereka. Pada 18 Februari, akhirnya tembelangnya pecah dan dia telah ditahan polis. 

Pada tahun 2014, mahkamah menjatuhkan hukuman 6 bulan penjara, denda $1,000 serta mengarahkan Hj Harith membayar semula duit yang diambil dari Voon.





Post a Comment

0 Comments