Upah 3 Pembunuh Upahan Untuk Bunuh Suami

Selepas setahun pemergian Toni da Silva Flor, 38, kes pembunuhannya kembali mendapat perhatian media apabila isterinya telah ditahan polis pada 19 Ogos 2021. Ini berikutan terdapat penemuan bukti baru iaitu perbualan antara pembunuh upahan dengan isterinya menerusi aplikasi WhatsApp.

Pada 11 Ogos 2020, Toni maut selepas ditembak 5 kali di luar gim miliknya di Cuiabá, Brazil. Pada hari kejadian, seorang lelaki mendekati Toni dengan memanggil namanya di luar gim sebelum melepaskan tembakan. Toni berjaya melarikan diri ke dalam gim dan dibawa ke hospital namun malangnya dia meninggal 2 hari selepas itu. 

Sementara itu, penyiasat mendakwa isteri Toni, Ana Cláudia Flor, adalah dalang disebalik pembunuhan Toni apabila dia dikatakan bersetuju membayar £ 8,190 kepada 3 orang suspek untuk membunuh suaminya. Toni dan Ana telah berkahwin selama 15 tahun dan mereka mempunyai 3 orang anak berusia 4, 8, dan 9 tahun. 

Selain Ana, Igor Espinosa, 26, salah seorang suspek telah ditahan lebih awal dan Igor mengakui dia melakukannya atas arahan Ana. Setakat ini, polis menyatakan terdapat 2 motif pembunuhan Toni. Pertama, Ana dipercayai curang dengan lelaki lain dan perkara itu telah diketahui suaminya. Kedua, Ana dikatakan mahu membolot semua harta dan perniagaan suaminya. 

Ana yang mempunyai 30,000 pengikut di laman sosial Instagram sering memuat naik status sok alim sok isteri solehah setelah kematian suaminya. Antaranya, 

Kami akan sering bersama, tiada apa yang dapat memisahkan kami.

Dia juga ada menulis, 

Samaada di dalam doa, fikiran, mahupun kenangan, saya akan sentiasa menyimpannya dalam diri, cinta sejati saya!

5 bulan selepas pemergian Toni Ana menulis, 

5 bulan tanpa awak saya sangat  sakit, sakit yang semua orang tahu iaitu rindu. Saya merindui awak setiap hari, setiap malam dan setiap saat.

Akaun media sosialnya itu bagaimanapun telah dipadam setelah penangkapannya. Sebelum ini media melaporkan, sejak kematian suaminya Ana giat mengetuai kempen di media sosial bagi mendapatkan keadilan buat suaminya. Selama setahun dia mengenakan topeng di muka, sentiasa berpura-pura pada semua orang termasuklah pada ibu suaminya yang mana Ana dikatakan datang menyambut hari lahir ibu mertuanya itu. 

Dia juga mengadakan konvoi motor sebagai tanda memperingati suaminya dan menempah kemeja-T untuk diberi pada rakan-rakan dan keluarganya. Lebih poyo lagi, setiap minggu Ana akan pergi ke balai polis untuk bertanyakan perkembangan kes suaminya, sama ada mereka telah menemui suspek ataupun belum. 

Kerana keprihatinannya itu, Ana berjaya mengaburi mata semua orang sehinggalah tertangkapnya Igor. Namun setakat ini Ana masih menafikan penglibatannya dalam kes pembunuhan suaminya, Toni da Silva Flor.


Post a Comment

0 Comments