Tidak Akan Ada Lagi Kematian Seperti Rajon dan Rakib.

Pada tahun 2015, dua mahkamah di Bangladesh telah menjatuhkan hukuman mati ke atas 6 orang suspek yang terlibat dalam dua kes pembunuhan remaja lelaki, Rajon dan Rakib. Keputusan dari mahkamah berbeza itu telah disampaikan pada hari dan waktu yang sama sebagai peringatan supaya tiada sesiapa mengulangi perlakuan kejam seperti yang berlaku kepada Rajon dan Rakib.

Bagi kes Rajon, Mahkamah Sylhet menjatuhkan hukuman mati ke atas 4 orang suspek. Mereka ialah Quamrul Islam, Zakir Hossain, Saddique Ahmed dan Taz Uddin. Suspek Quamrul Islam yang melarikan diri ke Arab Saudi selepas pembunuhan berlaku telah dibawa pulang ke Bangladesh dengan bantuan Interpol. Manakala bagi kes Rakib, Mahkamah Khulna menjatuhkan hukuman mati ke atas dua orang suspek iaitu Omar Sharif dan Mintu Khan. 

Sebelum ini, pada 8 Julai 2015, Rajon atau nama sebenarnya Samiul Alam Rajon yang berusia 13 tahun telah diikat pada tiang dan dipukul sehingga mati kerana dituduh mencuri. Rajon yang tidak bersekolah dan bekerja sebagai penjual sayur untuk membantu keluarganya telah dipukul tanpa belas kasihan. Kejadian itu turut dirakam dan dimuatnaik ke media sosial kononnya sebagai pengajaran kerana mencuri. 

Di dalam video berdurasi 28 minit itu, kelihatan Rajon diikat pada tiang dan menjerit meminta tolong. Dia turut meminta supaya diberikan air dan merayu untuk dilepaskan. Rajon berulang-ulang kali menyebut,

Tolong jangan pukul saya, saya akan mati.

Namun mereka si bedebah langsung tidak menunjukkan riak simpati malah Rajon berterusan dipukul sambil diiringi dengan gelak ketawa suspek. Saat Rajon meminta supaya diberikan air, suspek mengejek dan menyuruhnya minum peluh sendiri. Ada satu ketika, mereka berpura-pura melepaskan Rajon tetapi selepas melihat Rajon berdiri, seorang suspek menjerit,

Tulangnya masih baik. Pukul dia lagi. 

Kedengaran juga di dalam video perbincangan mereka yang mahu menyiarkan rakaman penderaan Rajon ke laman sosial Facebook supaya semua orang tahu nasib yang bakal si pencuri terima. Menurut polis, hasil bedah ke atas mayat Rajon telah menemui banyak kecederaan di seluruh badannya, termasuk di kepala dan dadanya. Rajon meninggal kerana pendarahan dalaman.

Samiul Alam Rajon meninggal pada 8 Julai akibat dipukul tanpa belas kasihan. Pada tubuhnya terdapat sekurang-kurangnya 64 kecederaaan, termasuk di kepala. - Ketua polis tempatan Alamgir Hossain.

Sementara itu ibu mangsa, Lubna Aktar menyatakan,

Anak saya bukan pencuri. Semua orang tahu. Saya mahu keadilan atas pembunuhan anak saya.

Hampir sebulan selepas kematian Rajon, seorang lagi remaja lelaki bernama Rakib Hawladar berusia 13 tahun meninggal dunia gara-gara perlakuan kejam bekas majikannya. Pada 3 ogos 2015, Md Sharif bersama bapa saudaranya Mintu Mia telah bertindak menelanjangkan mangsa sebelum memasukkan muncung pam udara bertekanan tinggi ke dalam rektum mangsa. Menurut Polis Khulna, Sukumar Biswas,

Dia menanggalkan pakaian mangsa, menyumbat muncung pam ke dalam rektum dan memasukkan udara ke dalam badannya. Beberapa bahagian badan Rakib termasuk perut, membengkak ketika itu. 

Suspek dikatakan ada cuba mengeluarkan gas dari badan Rakib selepas itu tetapi gagal. Mereka kemudiannya membawa Rakib ke klinik swasta berdekatan namun keadaannya semakin tenat. Rakib akhirnya meninggal dunia setelah dia dibawa ke Hospital Kolej Perubatan Khulna. Menurut polis,

Usus mangsa terkoyak dan paru-parunya pecah akibat tekanan udara yang sangat tinggi. 

Kematian Rajon dan Rakib yang tragis bagaimanapun mendapat pembelaan yang sewajarnya apabila 6 orang suspek dijatuhi hukuman mati oleh 2 mahkamah berbeza. Kes ini merupakan kes pertama paling cepat pelaku dijatuhi hukuman di Bangladesh yang mana tidak pernah terjadi sebelum ini. Ketika keputusan dibacakan, ramai yang berkumpul di luar Mahkamah Sylhet dan Khulna. Mereka berterusan berteriak, 

Kami mahu mereka digantung. Gantung! Gantung!

Sewaktu para pelaku dibawa keluar dari mahkamah pula, segala kejian, makian, mak kau hijau, pergi ke kedai membeli cincau, dilemparkan kepada suspek. 

Menurut media Bangladesh,

Kami tidak mahu kejadian kejam seperti ini berulang dalam masyarakat kami. Kami tidak lagi mahu kematian kanak-kanak bawah umur seperti Rajon dan Rakib berlaku pada kanak-kanak yang lain.

Nota : Rakib dibunuh hanya kerana dia berpindah bekerja di tempat lain.

Post a Comment

0 Comments