Kisah Ronald Dominique : Pembunuh Bersiri Dengan Jumlah Mangsa 23 Orang

Pada malam 3 Oktober 1998, Oliver Lebanks, seorang lelaki kulit hitam yang berusia 27 tahun telah menjadi salah seorang mangsa pembunuh bersiri Ronald Dominique. Ronald yang lebih dikenali sebagai The Bayou Strangler adalah seorang pembunuh bersiri sejak tahun 1997. 

Malam itu Oliver telah datang ke The Rawhide, salah satu kelab malam gay yang popular lewat tahun 90-an dan dia datang ke sana dengan satu tujuan. Memberi khidmat seks untuk ditukar dengan wang. Di sana dia telah mendekati Ronald. Harga yang dipersetujui adalah $30 bagi perkhidmatan blo*jo* dan kedua-dua mereka kemudiannya keluar dari kelab untuk menuju ke kereta Ronald. 

Ketika itu Ronald menyakinkan Oliver yang keretanya diparkir hanya selang beberapa bangunan dari kelab, tetapi malangnya itu semua helah dari Ronald. Bagaimanapun dia tetap berjaya memancing Oliver ke keretanya yang diparkir di tempat sunyi bersebelahan pusat membeli belah, Jax Brewery.

Di sana Ronald telah meliwat Oliver secara paksa. Kemudian dia mengambil besi di bawah tempat duduk pemandu dan menghayun sekuat hati ke kepala Oliver yang mengakibatkan berlaku pendarahan di otaknya. Dia seterusnya membelit pula tali pinggang ke leher Oliver sebelum mencekiknya sehingga mati. 

Oliver bukanlah mangsa pertamanya dan juga bukan yang terakhir. Seperti sebelum ini, Ronald memang mahu mangsanya ditemui. Kerana itu mangsa-mangsanya akan dibuang di merata tempat tanpa perlu bersusah payah menanam mereka. Mayat Oliver ditemui pada keesokan hari berhampiran lapangan terbang dalam keadaan seluarnya yang terlucut ke bawah. 

Sudah banyak mangsa ditemui mati dengan corak pembunuhan yang sama. Polis tahu mereka sedang berhadapan dengan seorang pembunuh bersiri, cuma mereka tidak tahu siapa. Ronald melakukan aktiviti merogol dan membunuh dari tahun 1997 hingga 2006. Selama 9 tahun itu dia telah membunuh seramai 23 orang lelaki semata-mata untuk memenuhi kepuasan nafsu songsangnya.

Sejak remaja, Ronald tahu yang dia seorang homosexual tetapi oleh kerana zaman itu gay di pandang hina, dia hanya mampu menyimpan rahsia gelapnya seorang diri. Sebenarnya setahun sebelum melakukan pembunuhan pertama, Ronald pernah ditahan pada Ogos 1996 atas kesalahan merogol selepas jiran melihat seorang lelaki melarikan diri dari tingkap rumah Ronald sambil menjerit yang dia telah diperkosa dan hampir dibunuh. Pada November tahun yang sama kes telah dibawa ke mahkamah namun digugurkan selepas itu berikutan mangsa gagal ditemui.

Sejak itu, kegilaan Ronald semakin menjadi-menjadi. Dia akan memperdaya mangsanya dengan cara pergi ke kelab gay dan menyasarkan lelaki yang memberi perkhidmatan seks ataupun berpura-pura menjadi tokan dadah. Dia juga turut melakukan modus operandi dengan menunjukkan gambar wanita cantik dan memberitahu mangsanya, wanita itu sanggup berhubungan seks dengan lelaki kulit hitam.

Mangsa pertama Ronald bernama David Mitchell, berusia 19 tahun. Mayatnya dijumpai pada Julai 1997 selepas dia dirogol dan dilemaskan. 5 bulan selepas itu, mayat Gary Pierre pula dijumpai di St. Charles Parish. Dibunuh dengan cara cekikan. Corak pembunuhan keduanya itu kemudian dikekalkan untuk kesemua mangsanya. 

Pada tahun 2005, lapan tahun selepas mayat David Mitchell ditemui, Polis Louisiana telah menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi mempergiatkan usaha mengesan Ronald. Dari hasil penyiasatan, mereka mengetahui kebanyakan mangsa Ronald adalah gelandangan yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah serta pelacuran. 

Pada tahun 2006, seorang lelaki telah datang ke balai polis dengan menceritakan yang Ronald telah mengikatnya tetapi dia berjaya melarikan diri. Sebelum ini, mangsa terakhir Ronald yang ke 23, Christoper Sutterfield, ditemui dua bulan sebelum itu. Ronald yang menjadi suspek utama telah ditahan pada 1 Disember 2006 dan dia kemudiannya mengakui telah merogol serta membunuh seramai 23 orang. Ronald akhirnya dijatuhi hukuman penjara seumur hidup di Louisiana State Penitentiary di Angola tanpa parole.

Walaupun jenayah yang dilakukan Ronald teruk tetapi kesnya dilihat sedikit sunyi berbanding pembunuh bersiri lain berikutan kesnya ditutupi dengan berita taufan Katrina dahsyat yang melanda Amerika Syarikat pada akhir Ogos 2005. Bencana alam itu telah meragut lebih dari 1800 nyawa dan menjadi bencana alam termahal dalam sejarah A.S. 

Jumlah kerosakan harta benda dianggarkan bernilai $81 bilion (nilai dolar AS pada tahun 2005) iaitu hampir tiga kali ganda nilai kemusnahan harta yang di akibatkan oleh Taufan Andrew pada tahun 1992.

Post a Comment

0 Comments