Kisah Pembunuhan Samantha Josephson : Ditikam Lebih 120 Kali Selepas Tersalah Masuk Kereta Yang Di Anggap Uber

Hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi Samantha Josephson akan bergraduasi dalam jurusan sains politik dari University of South Carolina. Masa depannya dilihat sangat cerah namun malangnya belum pun sempat dia menggapai cita-cita, Samantha yang berusia 21 tahun telah ditemui mati dibunuh dengan sadis.

Pada 28 Mac 2019, emosi Samantha sedikit terganggu apabila mendapat perkhabaran buruk mengenai kesihatan salah seorang ahli keluarganya. Dia kemudian keluar untuk menenangkan diri sepanjang malam bersama rakan dan kekasihnya. Pada awal pagi 29 Mac, dia keluar dari bar The Bird Dog dan menghubungi Uber untuk pulang ke apartmennya.

Pada pukul 2.09 pagi, menerusi rakaman CCTV kelihatan sebuah kereta jenis Chevrolet Impala berwarna hitam berhenti di sebelahnya dan Samantha dilihat masuk ke dalam kereta tersebut. Tidak lama kemudian Uber yang dipesan Samantha tiba tetapi oleh kerana kelibat Samantha tidak kelihatan pemandu Uber bertindak membatalkan tempahannya. 

Pada keesokan hari, rakan serumah Samantha yang risau tentang keselamatannya telah melaporkan kehilangan Samantha kepada pihak berkuasa. Kurang dari 24 jam misi pencarian dilakukan akhirnya Samantha berjaya ditemui di kawasan hutan namun dia tidak ditemui dalam keadaan selamat sebaliknya mayatnya dijumpai dalam keadaan mengerikan. 

Samantha dibunuh dengan kejam. Tubuhnya ditikam bertubi-tubi lebih 120 kali dengan menggunakan pisau berbilah dua. Dilaporkan luka tikamannya terlalu banyak sehinggakan mustahil untuk menentukan jumlah tikaman dengan tepat. Semasa serangan berlaku, Samantha dikatakan bergelut dengan penyerang bagi melindungi dirinya. Ini dibuktikan dari kesan tikaman yang tepat pada tangan kanannya. 

Penyerangnya turut menggunakan sekuat tenaga bagi menusuk pisau ke bahagian tengkorak dan otak Samantha. Sementara itu media melaporkan, kebanyakan tikaman yang Samantha terima terutamanya di bahagian leher adalah tikaman yang kejam dan dilakukan dengan sangat cepat. Hampir kesemua luka tikamannya berpotensi menyebabkan kematian iaitu antara 10 hingga 20 minit.

Kebiasaannya, tubuh manusia mempunyai empat liter darah namun darah pada tubuh Samantha hanya berbaki 1.3 sudu besar. Dalam kes ini, penyiasat yakin Samantha secara tidak sengaja telah masuk ke dalam kereta suspek kerana menganggap itu Uber yang ditunggunya. Setelah itu, suspek mengaktifkan kunci keselamatan kenderaan yang mana pintu hanya boleh dibuka dari luar. 

Pada 30 Mac, polis mendapat maklumat mengenai kereta suspek yang sedang memandu di sekitar lokasi sama Samantha diculik. Suspek yang cuba melarikan diri pada mulanya bagaimanapun berjaya ditahan polis. Dia ialah Nathaniel Rowland, berusia 24 tahun. Di dalam keretanya polis menemui cecair peluntur serta produk pembersihan. Selain itu terdapat banyak darah di tempat duduk dan juga di but. 

Rumah suspek seterusnya digeledah. Di sana polis menjumpai lebih banyak alatan pembersihan. Polis turut menemui kesan darah Samantha pada pisau, salah satu stoking serta pada sapu tangannya. Selanjutnya DNA Samantha berjaya  dikesan di kuku jari suspek. Ini bukanlah jenayahnya yang pertama. 5 bulan sebelum pembunuhan Samantha, dia pernah ditangkap kerana disyaki cuba menjual barang yang dicuri dari seorang mangsanya. 

Selepas hampir 2 tahun, media DailyMail melaporkan pada Julai 2021, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas Nathaniel Rowland kerana menculik, membunuh dan memiliki senjata. Sementara itu ibu Samantha menyatakan dalam esak tangis,

Saya memejamkan mata dan merasakan kesakitan yang dia tanggung, 120 kali, berulang-ulang, terpaksa berjuang di dalam kereta yang terkunci. Saya membayangkan darah yang mengalir dari tubuhnya, tubuh yang cantik, 120 kali. Untuk apa? Demi $ 35 yang dimiliki seorang pelajar kolej di dalam akaun banknya? 

Bagaimanapun sehingga dijatuhkan hukuman, Nathaniel Rowland tetap mengaku tidak bersalah atas kematian Samantha. Katanya,

Saya tahu saya tidak bersalah, tetapi apa yang saya rasa tidak penting. Saya cuma berharap pihak berkuasa melakukan lebih banyak siasatan untuk mengetahui siapa pelaku sebenarnya. Bukannya berpuas hati dengan penahanan saya dan membuktikan saya bersalah.





Post a Comment

0 Comments