Kisah Jeremy Meeks : Dari Penyangak Ke Pentas Peragaan

Kali pertama Jeremy Meeks dipenjarakan adalah pada tahun 2002 atas kesalahan rompakan dan menyerang dengan kejam seorang remaja lelaki berusia 16 tahun. Ketika itu, Jeremy berusia 18 tahun.

Pada mulanya dia hanya dijatuhi hukuman penjara selama 2 tahun di penjara California tetapi dia akhirnya terpaksa meringkuk di dalam penjara selama 9 tahun.

Beberapa tahun selepas dibebaskan, pada Jun 2014 sekali lagi Jeremy ditahan atas kesalahan memiliki senjata api. Gambarnya kemudian dimuatnaik polis ke laman sosial Facebook. 

Berbeza dengan mugshot penjenayah lain, gambar Jeremy menjadi tular dek kerana raut wajah serta warna bebola matanya. Gambarnya mendapat 75,000 tanda suka, 20,000 komen serta 10,000 perkongsian. 

Wanita-wanita mudah pecah rahim mula menggelarnya sebagai The Blue-Eyed Bandit dan Jail Bae. Selepas menjalani hukuman selama 2 tahun di Mendota Federal Correctional Institution, Jeremy akhirnya dibebaskan pada Mac 2016.

Jeremy yang dahulunya penyangak telah dibawa ke pentas peragaan oleh agensi pemodelan terkenal selepas dia dibebaskan. Kerjayanya berkembang sejak itu. Pengikutnya juga bertambah dari hari ke hari lebih-lebih lagi apabila dia mula memuatnaik aktiviti bersama isteri serta anaknya. 

Gambarnya bersama isteri yang dimuatnaik ke laman sosial Instagram dengan caption "Celebrating our 8 year anniversary today and 50 more to go. Through thick and thin!" berjaya menyentuh hati peminatnya.

Hubungan itu bagaimanapun tidak berkekalan selepas Jeremy didapati curang dengan Chloe Green, pewaris empayar Sir Philip Green yang merangkumi Topshop, Dorothy Perkins dan Burtons. Hubungannya dengan Chloe hanya bertahan selama 2 tahun kerana Chloe dikatakan curang dibelakangnya, lapor Daily Mail.

Jerami dan Kole

Dalam satu wawancara, Jeremy menceritakan yang hidupnya sejak kecil sangat gelap dan kelam. Kedua-dua ibu bapanya merupakan penagih tegar. Saya bayi heroin, cerita Jeremy. 

Zaman kanak-kanak saya sangat gelap. Bapa saya membunuh kawan baik ibu saya ketika saya berusia 9 bulan. Dia dibunuh kerana bapa saya mencari kami dan dia satu-satunya orang yang tahu di mana kami berada.

Bapanya, Raymond Meeks, telah dihukum penjara selama 33 tahun selepas didapati bersalah menikam Laura Leon-Melara sebanyak 37 kali dan mencekiknya sehingga mati. Raymond dibebaskan pada tahun 2017, saat kerjaya Jeremy sedang memuncak. 

Hidup tanpa bapa di sisi, ibu pula kerap keluar masuk penjara bukanlah sesuatu yang mudah buat Jeremy. Hidupnya sentiasa dikelilingi dengan jenayah. Selain ibu dan bapanya abang tirinya turut terlibat dengan rompakan manakala kakak tirinya terlibat dengan dadah. 

Jeremy hidup di jalanan sejak usianya 15 tahun dan dia kemudiannya terlibat dengan geng. Bergaduh, bertumbuk sudah sebati dalam diri Jeremy. Hanya itu satu-satunya cara untuk dia kekal hidup. 

Ketika dia dipenjarakan cabarannya pula adalah dari segi perbezaan warna kulitnya. Dia bukan lelaki berkulit hitam mahupun lelaki berkulit putih. Paling pedih, kerana rupa parasnya, dia sering menjadi lauk banduan-banduan lain. 

Namun, tuahnya telah tertulis. Gambarnya yang dimuatnaik Jabatan Polis Stockton di Facebook pada tahun 2014 menjadi tular dan kini Jeremy Meeks adalah salah seorang model paling terkenal di dunia.

Laporan The Sun pada Julai 2021, nilai bersih Jeremy adalah sekitar £ 4 juta. Selain menjadi model, Jeremy turut menceburkan diri dalam bidang lakonan. Antara filem yang dilakonkannya ialah Dutch (2020), True to the Game 2: Gena's Story (2020) dan bakal menyusul dengan filem terbaru berjudul Doggmen. 


Post a Comment

0 Comments