Kisah Akku Yadav : Berdekad Memijak Golongan Dalit, Akhirnya Mati Dibunuh Di lantai Mahkamah

Dari tahun 1991 hingga tahun 2004, Bharat Kalicharan atau lebih dikenali sebagai Akku Yadav mendominasi kawasan setinggan di Kasturba Nagar, Nagpur, India. Kalau tengok penjahat dalam filem India, di dunia nyata itulah Yadav. Semua penduduk kecut perut bila Yadav datang ke kawasan mereka. Kerana ketakutan mereka itu, Yadav semakin menggila dan rasa dirinya raja. Dia yakin yang dia tidak akan dapat di sentuh oleh sesiapa pun, memandangkan sudah lebih sedekad dia menguasai kawasan itu. Sehinggalah muncul seorang wanita bernama Usha Narayane.

Yadav menyasarkan golongan Dalit (kasta rendah) supaya dia senang terlepas daripada apa-apa hukuman. Sepanjang penglibatannya dengan jenayah dia sudahpun diberkas sebanyak 14 kali tetapi akhirnya bebas selepas merasuah polis. Aduan dari mangsa-mangsanya di balai polis bukan sahaja tidak dipandang malah anggota polis menjadikan aduan tersebut sebagai bahan jenaka.

Seorang anak mangsa menceritakan yang ibunya, Asha Bai, telah dibunuh di hadapan matanya sendiri. Perit! Ceritanya pada hari kejadian mereka sedang makan malam sebelum mendengar bunyi ketukan di pintu depan rumah. Ibunya membuka pintu kerana Yadav menyamar sebagai kawan anak lelakinya. Selepas pintu di buka, Yadav mengheret Asha ke luar dan menikamnya. Telinga dan jari Asha turut dipotong bagi memudahkan Yadav mengambil subang serta cincinnya. 

Mangsa lain pula menceritakan bagaimana Yadav merosakkan kehidupan dia dan suaminya. Sekitar jam 4 hingga 5 pagi, Yadav telah datang ke rumahnya dengan menyamar sebagai anggota polis. Sejurus pintu dibuka Yadav masuk ke dalam rumah dan menikam peha suaminya. Selepas suaminya dikunci di dalam bilik air, Yadav menjambak rambut mangsa dan dibawa ke suatu tempat sebelum dia dirogol. Mangsa hanya dibenarkan pulang ke rumah 4 jam selepas itu. 

Mangsa rogol Yadav lebih daripada 40 orang dan mangsanya paling muda baru berusia 12 tahun. Menurut kejiranan di Kasturba Nagar, Yadav pernah bertindak keji dengan memperkosa seorang wanita sejurus selepas perkahwinannya. Dalam kejadian lain, Yadav serta konco-konconya telah merogol wanita bernama Kalma sedangkan ketika itu Kalma masih di dalam pantang selepas melahirkan. Akibatnya, Kalma membunuh diri dengan cara menyiram minyak tanah dan kemudiannya menyalakan api ke badannya. 

Kematian Kalma yang tragis bukanlah titik penamat kejahatan Yadav. Mangsa Yadav bersilih ganti dan kali ini mangsanya merupakan wanita yang sedang hamil 7 bulan. Dalam kejadian itu, mangsa dibogelkan dan dirogol di jalan raya yang mana orang ramai boleh melihat aksi menjijikkan itu. Selain wanita, lelaki di kawasan itu turut menjadi habuan Yadav. Ada seorang lelaki tua bernama Harichand Khorse telah dipukul lunyai hanya kerana gagal membayar hutang 100 rupees (RM5.67). 

Selain itu, seorang lelaki bergelar bapa telah dibogelkan dan dicucuh dengan rokok. Dia juga dipaksa menari di hadapan anak gadisnya berusia 16 tahun tanpa seurat benang di badan. Nasib malang turut menimpa seorang lelaki bernama Avinash Tiwari apabila dia dipukul dengan teruk gara-gara tindakan beraninya melaporkan kepada polis tentang kes pembunuhan seorang wanita bernama Asho Bhagat. Asho Bagat telah diseksa di hadapan anak perempuannya serta beberapa penduduk lain dengan cara dipotong payudaranya. Selepas itu, barulah dia dibunuh dikerat menjadi beberapa bahagian. 

Walaupun peristiwa dirogol sesuatu yang memalukan di India tetapi mangsa-mangsanya gagah menebalkan muka pergi ke balai polis untuk membuat aduan. Tetapi apa yang mereka dapat bukanlah pembelaan sebaliknya polis-polis ini akan menyampaikan aduan tersebut kepada Yadav. Akibatnya, Yadav akan datang ke rumah pengadu dan mengugut akan menyimbah asid, merogol atau mencederakan keluarga mereka. Ada juga kes, seorang mangsa yang mahu membuat aduan terhadap Yadav terpaksa melalui satu lagi detik hitam apabila dia bukannya dibantu sebaliknya dia telah dirogol dengan anggota polis. 

Pokoknya, selagi jenayah Yadav hanya tertumpu pada golongan Dalit, polis akan sentiasa membutakan mata dan memekakkan telinga. Sehinggalah terjadinya satu peristiwa yang bakal mengubah nasib Dalit selama-lamanya. Pada suatu hari, Yadav dan konco-konconya telah datang ke rumah Ratna Dungiri untuk meminta wang. Barang-barang di rumahnya dirosakkan dan Yadav mengugut akan membunuh keluarganya jika permintaan mereka tidak dituruti. 

Usha Narayane

Jirannya, Usha Narayane menyuruh Ratna membuat laporan polis selepas kejadian peras ugut itu tetapi Ratna enggan. Usha yang tidak mampu berdiam diri telah pergi ke balai polis untuk melaporkan kejadian tersebut. Seperti biasa laporan Usha disampaikan kepada Yadav. Yadav yang berang telah datang ke rumah Usha dengan membawa asid untuk mengugutnya. Ketika itu Usha bukannya ketar sebaliknya dia membalas ugutan Yadav dengan cacian dan makian. Kemarahan Yadav semakin memuncak, dia cuba memecah pintu rumah Usha dan ketika itulah Usha berteriak,

Kalau berani masuklah, aku letupkan rumah ni. Kita mati sama-sama. 

Yadav dan konco-konconya yang terbau gas dari dalam rumah jadi kecut perut. Nak tak nak mereka pergi dari rumah Usha. Kerana keberanian Usha, penduduk yang dahulunya mengucing mula bangkit dan menunjukkan taring masing-masing. Nampak sahaja konco-konco Yadav mereka terus baling batu. Kali ini, orang Yadav pula kecut perut lari lintang pukang. Takut dengan kebangkitan golongan Dalit di Kasturba Nagar. 

Pada 6 Ogos 2004, rumah Yadav telah dibakar dengan penduduk yang berdendam dengannya. Sehari selepas kejadian itu, Yadav telah datang ke balai polis untuk menyerah diri dan dia ditahan. Yang sebenarnya itu cuma taktik Yadav. Dia dah sogok polis supaya membebaskannya selepas keadaan kembali reda. 13 Ogos 2004, Yadav dibicarakan di Mahkamah Daerah Nagpur India. 

Berita yang dia bakal dibebaskan dengan jaminan tersebar ke telinga mangsa-mangsanya. Beratus wanita dari kejiranan miskin itu hadir ke mahkamah. Mereka duduk di kerusi paling hadapan dan di dalam genggaman mereka terdapat pisau sayur, batu dan serbuk cili. Sekitar jam 2.30 petang, Yadav masuk ke dalam mahkamah dengan yakin yang dia akan dibebaskan. Semasa melintas wanita-wanita itu, Yadav terpandang wanita yang telah dirogolnya. Dengan bongkak, Yadav mengejek, memanggilnya dengan gelaran pelacur dan menyatakan dia akan merogolnya kembali.

Polis yang mengiringi Yadav ketawa besar semasa mendengar kata-kata Yadav. Berang dengan keadaan itu, mangsa bangun dan memukulnya dengan kasut sambil berkata,

Samaada kau atau aku yang akan mati hari ini. Kita tak boleh hidup di dunia ini bersama-sama.

Keadaan yang tadinya tenang menjadi kelam kabut. Lebih 200 orang wanita yang hadir ke mahkamah bertindak membaling batu serta serbuk cili ke muka Yadav. Serbuk cili yang dilempar turut terkena pada anggota polis yang menyebabkan mereka lari bertempiaran meninggalkan Yadav seorang diri. Wanita-wanita tadi semakin buas. Yadav ditikam sebanyak 70 kali dan zakarnya turut dipotong oleh salah seorang mangsanya. Kata maaf yang keluar dari mulut Yadav hari itu, langsung sedikitpun tidak melembutkan hati. Yadav mati dibunuh di tangan wanita Dalit ketika usianya 32 tahun.

Kematian Yadav dirai penuh gemilang, mana tidaknya sudah lebih sedekad mereka ditindas. Walaupun pada mulanya beberapa orang wanita termasuk Usha telah ditahan atas pembunuhan Yadav, tetapi akhirnya mereka dibebaskan. Bhau Vahane, bekas Hakim Mahkamah Tinggi, secara terbuka membela wanita-wanita yang telah membunuh Yadav. 

Dengan apa yang telah mereka lalui, mereka tidak mempunyai cara lain selain membunuh Yadav. Mereka telah berulang kali meminta bantuan pihak polis tetapi polis gagal melindungi mereka.

Nota : Usha Narayane ni wanita Dalit juga cumanya dia terpelajar. Norma diorang ni, patutnya usia macam Usha tu dah berkahwin, dah gendong anak. Tapi Usha tak, dia gendong buku.


Post a Comment

2 Comments

  1. Endingnya memuaskan muahahahah !!
    Teruk betui undang2 India 🤦‍♀️, tapi ending ia 👍

    ReplyDelete