Kisah Om Prakash Yadav : Melecur Teruk Gara-gara Menyelamatkan 8 Orang Pelajar

Pada 24 September 2010, Om Prakash Yadav yang ketika itu berusia 10 tahun pergi ke sekolah seperti biasa. Dalam perjalanan, dia telah melihat sebuah van sekolah sedang terbakar yang mana pemandunya telah melarikan diri manakala beberapa orang pelajar (kanak-kanak) masih terperangkap di dalamnya. 

Tanpa memikirkan keselamatan diri, Om meredah api yang semakin marak sebelum membuka pintu van demi menyelamatkan 8 orang pelajar walaupun ketika itu dia telah terbakar. Saat kesemua pelajar berjaya diselamatkan, api telahpun merebak ke muka, telinga, punggung dan lengannya sehingga menyebabkannya mengalami luka bakar yang serius. 

Saya dapat merasakan api membakar badan saya tetapi saya mendengar tangisan mereka yang masih terperangkap di dalam van. Saya mencampak beg dan masuk untuk menarik mereka keluar.

Om segera dikejarkan ke hospital selepas itu dan telah menerima rawatan selama 2 bulan. Pada tahun 2012, dia bersama beberapa orang kanak-kanak lain telah menerima anugerah di National Bravery Awards. Walaupun terpaksa meninggalkan persekolahannya selama setahun berikutan kecederaan yang dialami, Om menyatakan dia tetap akan melakukan perkara yang sama jika kejadian seperti itu berulang lagi. 


Pada tahun yang sama Om menerima anugerah, Perdana Menteri, Manmohan Singh, dan Presiden India, Pratibha Patel, turut memberinya insensif berbentuk wang. Pratibha Patel memberinya Rs 1 lakh manakala Manmohan Singh memberinya Rs 40,000. Wang yang diterimanya itu kebanyakannya dibelanjakan untuk kos perubatan dirinya.

Pada tahun 2014, Om selamat menjalani pembedahan pertama di Varanasi di mana doktor berjaya memisahkan tangan kanan yang melekat di pinggang dan dadanya. Pembedahan itu menelan belanja sekitar Rs 2 lakh dan selama dua bulan selepas pembedahan, bapanya akan membawa Om berulang alik dari Azamgarh ke Varanasi setiap hari untuk doktor memantau keadaannya.

Setahun kemudian, doktor menyarankan pula supaya Om melakukan pembedahan plastik di muka dan punggungnya, namun bagi Lal Bahadur Yadav, bapa Om, itu agak mustahil kerana keluarga mereka sangat miskin. Sudah banyak duit yang dia pinjam untuk pembedahan pertama anaknya. Dia yakin, tiada sesiapa lagi yang akan meminjamkannya wang. 

Lal seterusnya menceritakan, dua bulan sebelum pilihan raya Lok Sabha pada tahun 2014, dia ada mengunjungi Lucknow untuk meminta bantuan pada Ketua Menteri, Akhilesh Yadav, tetapi gagal menemuinya. Kisah Om bagaimanapun berjaya menjentik hati sepasukan pentadbiran daerah yang terdiri daripada pegawai kanan dan Ketua Pegawai Perubatan untuk datang mengunjungi kediaman keluarga Om. Mereka kemudiannya memberi jaminan akan menyalurkan segala bentuk bantuan yang diperlukan Om. 

Hakim Daerah Azamgarh, Suhash L Y, ketika dihubungi mengesahkan yang pasukan pentadbiran daerah telah mengunjungi rumah Om dan mereka mendapati keadaan kewangan keluarga itu sangat tidak baik. Maka, kad catuan (dokumen rasmi untuk membeli gandum, makanan dengan subsidi) serta biasiswa untuk 3 adik beradik perempuan Om, diberikan. Selain itu, bantuan kewangan kepada Om bagi membolehkan dia menjalani pembedahan plastik turut akan diberikan selepas doktor menyiapkan laporan yang diperlukan.

Nota : Berita yang aku jumpa setakat ni je.  Harap2 janji tu ditepati bukan dicelupi. 



Post a Comment

0 Comments