Kisah Melek İpek Yang Didera Suami Selama 12 Tahun Bahagian Dua

Baca sini :

BAHAGIAN SATU


Namun telahan saya salah. Suami kembali menggari tangan saya. Kali ini dia menggari tangan saya ke belakang badan dan mengarahkan supaya saya berbaring dia atas sofa tanpa seurat benang. Saya memintanya supaya membuka gari kerana pastinya sakit jika berbaring dalam posisi begitu. Tetapi dia membalasnya dengan ancaman.

Diam dan baring atau aku akan campak kau ke luar balkoni. Aku tidak akan membunuh kau dalam kegelapan malam sebaliknya pada siang hari yang terang dan aku akan menghancurkan kau menjadi cebisan.

Dia seterusnya menjerkah anak-anak yang sedang berada di dalam bilik lain selepas mendengar anak sulung kami muntah. 

Pergi ke katil dan tidur, jangan sampai aku datang dan bunuh.

Suami hanya tertidur selepas dia membuka gari di tangan saya sebelum menggarinya semula. Kali ini di hadapan. Manakala saya langsung tidak dapat melelapkan mata sehingga pagi. Sejuk dan ketakutan. Suami bangun pagi itu untuk pergi ke tempat kerja dan berkata,

Tunggu aku di sini, apabila aku kembali, aku akan menyelesaikan apa yang telah aku mulakan.

Kepada anak-anak pula dia menyatakan, 

Apabila aku kembali, aku akan membunuh kamu dan ibumu. Jangan tinggalkan rumah.

Selepas suami keluar ke tempat kerja, anak-anak terus masuk ke dalam bilik dan melihat saya dalam keadaan yang memalukan. 

Ibu kami di dalam bilik tidur. Kami datang kepadanya. Terdapat darah di mukanya dan bergari di tangan. Ibu tidak berbaju.

Dengan bantuan anak saya, saya membalut tubuh dengan sehelai kain dan keluar pergi ke rumah Turgut Yaraşlı, jiran kami, untuk menanyakan jika suami saya ada menyimpan senapang berburu di rumahnya. Sudah menjadi kebiasaan suami akan menyimpan senjata di rumahnya bagi mengelakkan dari didenda oleh taman negara. Tetapi jawapan dari isteri Turgut, tiada senjata disimpan di rumahnya. Kami kemudian pulang semula ke rumah. 

Di rumah, kami menunggu kepulangan suami dengan penuh debaran. Anak-anak berterusan bertanya betulkah ayah mereka akan membunuh mereka. Seterusnya, kami mendengar bunyi kereta masuk ke dalam perkarangan rumah. Enjin kereta dimatikan. Anak-anak saya mula menangis ketakutan dan berkata,

Ibu, ayah ada di sini, adakah dia akan membunuh kita?

Melihat situasi itu, saya pergi meninggalkan bilik di mana anak-anak saya berada dan masuk ke dalam bilik pertama di sebelah kiri pintu masuk rumah. Kedengaran suami saya menaiki tangga sambil mulutnya tidak berhenti menyumpah seranah dan mengugut akan membunuh kami. Dia kemudiannya masuk ke dalam rumah dengan menendang pintu dan mula menjerit. Saya yang mengecilkan diri di satu sudut bilik tiba-tiba terpandang senapang kecil kegunaan suami memburu burung. 

Saya yang masih bergari dengan pantas mencapai senapang dan menyembunyikannya di bawah lengan. Suami masuk ke dalam bilik dalam keadaan marah. Kami akhirnya bertentang mata. Kau mahu bunuh aku? Jerit suami. Dia kemudiannya datang dan cuba merampas senapang dari tangan saya. Kami bergelut. Tiba-tiba saya terdengar satu tembakan. Saya tidak tahu bagaimana ia berlaku. Mulanya, saya fikir saya yang akan mati. Tetapi sebaliknya. 

Saya melihat suami saya terkulai jatuh ke lantai dan darah pekat mula mengalir. Dengan segera saya mengambil telefon bimbit di dalam poketnya. Saya cuba membukanya tetapi tidak berjaya kerana tidak mengetahui kata laluan. Yang muncul selepas itu adalah nombor kecemasan. Saya terus menghubungi talian 122 dan memberitahu yang saya telah menembak suami saya dan mereka perlu menghubungi ambulans.

Kerana terkejut dengan apa yang telah berlaku, saya duduk mencangkung di sebelah suami dan menunggu. Tidak lama selepas itu kedengaran bunyi loceng di pintu. Gendarmerie dan ambulans telah tiba. Gari di tangan saya dibuka dengan bantuan gendarmes. Saya menyarungkan pakaian lengkap dan dibawa untuk siasatan. Saya sedih dan menyesal atas semua apa yang telah berlaku. Tetapi sekiranya musibah itu tidak terjadi, saya dan dua orang anak perempuan saya akan mati. 

Media sebelum ini melaporkan Melek İpek bakal berhadapan 18 hingga 24 tahun penjara setelah pendakwa raya menyatakan jenayahnya itu bukan kerana membela diri. Namun selepas 108 hari dipenjarakan, İpek akhirnya dibebaskan dari pertuduhan membunuh suaminya. Kini dia hidup gembira bersama dua orang anaknya di sebuah ladang di luar pusat bandar Antalya. Di sebalik kegembiraan yang dikecapinya bersama anak-anak, İpek ingin memohon maaf kepada keluarga suaminya. Saya tidak pernah membayangkan perkara seperti ini akan terjadi. Maafkan saya..

Nota : Maksud gendarmerie - Tentera yang diberi tugas polis bagi menjaga ketenteraman awam.

Post a Comment

0 Comments