Kes Rompakan Rumah Dodi Triono Yang Meragut 6 Nyawa


Pada tahun 2016, satu kes rompakan yang melibatkan arkitek berjaya Dodi Triono berusia 59 tahun menjadi salah satu kes terhangat di Indonesia. Dalam insiden rompakan itu seramai 5 orang berjaya diselamatkan manakala 6 orang lagi maut. Ini termasuklah Dodi serta dua orang anaknya.

Berikut kronologi kes rompakan rumah mewah Dodi Triono.

26 Disember 2016.

Pada petang Isnin, seorang perompak bernama Ramlan Butarbutar keluar dari kereta Suzuki Ertiganya dan berjalan tercingkut-cingkut masuk ke dalam rumah Dodi melalui pintu pagar utama yang tidak berkunci sebelum disusuli rakan-rakannya. 

Dia kemudiannya menahan 11 orang yang berada di dalam rumah mewah milik Dodi dan mengumpulkan kesemua mereka di bahagian ruang tamu rumah. Dengan bersenjatakan parang dan pistol, Ramlan mengarahkan semua tebusan supaya masuk ke dalam bilik air berkeluasan kecil yang sering digunakan pembantu rumah. 

Mereka seterusnya mengunci pintu bilik air dari luar, merosakkan tombol pintu serta membuang kuncinya dan beredar dari rumah Dodi tidak lama selepas itu dengan membawa barangan berharga yang dicuri tanpa mempedulikan nasib semua tebusan. 

Dalam keadaan bilik air yang sempit dan gelap ditambah pula tiada pengudaran yang baik, mereka terpaksa bertahan. Bersesak dan berhimpit antara satu sama lain selama berbelas jam yang mana akhirnya 6 daripada mereka meninggal dunia perlahan-lahan penuh seksa akibat kekurangan oksigen. 

Mereka ialah, Dodi Triono, Diona (anak, 16 tahun), Dianita (anak, 9 tahun), Amel (rakan Dianita), Yanto (pemandu), dan Tasrok (pemandu). 

Zanette Kalila, anak Dodi yang terselamat.

27 Disember 2016.

Sheila Putri, 16, rakan Diona telah datang ke rumah Dodi sekitar jam 9.30 pagi selepas gagal menghubungi Diona sejak petang 26 September. Sheila tidak datang seorang diri sebaliknya dia datang bersama Evan yang sebenarnya telah datang ke rumah Diona terlebih dahulu. Cerita Evan,

Saya datang ke rumah mencari Diona dan melihat rumahnya kosong, pagar pula tidak berkunci. Saya cuba menghubunginya tetapi gagal. Saya masuk ke dalam dan melihat ada genangan air di tandas. Saya fikir bilik air memang rosak. Setelah itu saya keluar dan menghubungi Sheila.

Sheila dan Evan kemudian datang bersama-sama ke rumah Diona. Sampai sahaja di sana, Sheila mendapati baik pintu pagar mahupun pintu rumah rakannya itu tidak berkunci. Keadaan kerusi di kolam renang pula dalam keadaan tonggang terbalik. Mereka yang masuk ke dalam rumah kemudian telah pergi ke arah bilik air sebelum mendengar suara rintihan meminta tolong. 

Entah kenapa hati saya kuat untuk pergi ke bilik air. Saya dengar bunyi nafas. Tombol pintu dah tercabut jadi saya goyang pintunya dan mendengar suara, kak Sheila tolong kami. Kami dikurung dari pukul 3 petang. Kami dirompak.

Asbab kedatangan Sheila dan Evan mencari Diona, akhirnya kes rompakan yang menimpa keluarga Dodi diketahui. Pintu bilik air kemudiannya dipecahkan dengan bantuan pengawal keselamatan dan polis. 11 orang mangsa dibawa keluar satu per satu. 5 orang mangsa terselamat, 5 orang meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi meninggal dunia di hospital. 

28 Disember 2016.

Pukul 3 petang, berlaku aksi tembak menembak antara 4 orang suspek dengan anggota polis yang mana akhirnya 2 orang perompak berjaya ditangkap manakala 2 orang lagi berjaya melarikan diri. Ramlan maut di tempat kejadian, Erwin cedera ditembak di kakinya manakala Yus Pane dan Sinaga melarikan diri. Namun pelarian mereka tidak lama, Sinaga ditangkap pada petang hari yang sama dan Yus Pane ditangkap pada 1 Januari 2017.

Oktober 2017.

Majlis Hakim Pengadilan Negeri menjatuhkan hukuman mati terhadap 2 orang suspek, Yus Pane dan Erwin. Manakala Sinaga yang berperanan sebagai pemandu semasa melakukan rompakan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. 


Post a Comment

0 Comments