Bayi Lelaki Diculik Dua Kali Di Gujarat



Saya tidak akan biarkan anak saya hilang dari pandangan saya lagi walau sejenak.

Itu antara kata-kata yang keluar dari mulut ibu muda bernama Meena Wadi yang tinggal di bandar Gandhinagar, Gujarat. Kejadian culik yang menimpa anaknya membuatkannya trauma. Mana tidaknya, anaknya diculik bukan sekali tetapi kejadian itu berulang sebanyak 2 kali dalam masa 2 bulan.

Kejadian pertama berlaku sehari selepas dia pulang ke rumah dari hospital pada 1 April yang lalu. Ceritanya, seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai jururawat di hospital tempat dia melahirkan telah datang ke rumah dengan menyatakan bayi lelakinya perlu ke hospital untuk divaksinasi. Tanpa menaruh sebarang syak wasangka, Meena bersama bayinya pergi ke hospital bersama suspek.

Sampai sahaja di sana, suspek mengambil bayinya dengan alasan mahu mengambil gambar dan meminta Meena supaya menunggu. Berjam-jam telah berlalu tetapi bayang bayinya mahupun suspek tidak juga kelihatan. Meena yang panik mula mencari bayinya bersama teriakan dan air mata. 

Ketika pengawal mendengar tangisan saya, mereka bertanya apa yang terjadi. Saya menceritakan segalanya dan mereka kemudian menghubungi polis.

Bagaimanapun, saat inspektor polis bernama Zala yang mengetuai siasatan menanyakan tentang butiran suspek, Meena gagal untuk menjelaskannya. 

Meena langsung tidak tahu butiran wanita itu malah namanya juga tidak tahu. Dia juga tidak tahu bagaimana mahu menggambarkan rupa wanita tersebut.

Rakaman CCTV di sekitar hospital kemudiannya diperiksa dan pihak polis menjumpai petunjuk pertama yang mana kelihatan seorang wanita berjalan ke arah jalan utama dengan menyorokkan sesuatu di bawah sarinya. Selepas menyoal siasat hampir 500 pemandu auto, polis mendapati yang suspek telah menaiki auto dan pergi ke kawasan perumahan kampung bersama seorang bayi. 

Rakaman CCTV di kawasan perumahan itu seterusnya diteliti pihak polis. Mereka turut menyoal siasat pemilik gerai di sepanjang jalan raya sambil menelusuri petunjuk demi petunjuk sehinggalah membawa mereka ke perkampungan lain yang mana menjadi jejak terakhir wanita itu dilihat. Hasil pencarian di kawasan tersebut, pihak polis menemui ladang ternakan yang telah ditinggalkan. Di sana mereka menjumpai pakaian wanita dan juga sekeping kad pengenalan. 

Tanpa berlengah, alamat di kad pengenalan itu dituju dan mereka menemui seorang wanita bersama seorang bayi. Namun malangnya bayi itu bukan bayi yang dilaporkan hilang. Wanita itu memberitahu polis yang suami pertamanya telah berkahwin lain dan mencuri barang-barangnya termasuk kad pengenalan yang dijumpai pihak polis. Manakala bayi yang bersamanya itu adalah anak dari perkahwinan keduanya.

Pihak polis kemudiannya menjejaki pula lokasi bekas suami wanita tersebut yang akhirnya menemui pasangan suami isteri bersama seorang bayi. Hasil ujian DNA mendapati bayi itu sah anak Meena. Menurut suspek, dia mengakui menculik bayi Meena dan sengaja menuduh bekas isteri suaminya dengan cara meletakkan pakaian serta kad pengenalan di ladang. Manakala suami suspek menyatakan dia tidak mengetahui langsung helah isterinya dan menyangka bayi itu memang anaknya.

Suspek turut mengakui dia bertindak demikian berikutan anak yang dia kandungkan meninggal dalam kandungan dan dia berasa takut jika si suami meninggalkannya kerana tidak membawa pulang seorang bayi lelaki. Pasangan tersebut seterusnya ditahan pihak polis sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.

Bayi itu dikembalikan semula kepada Meena dan suaminya Kanu. Mereka hidup bahagia selepas itu namun kegembiraan itu tidak lama. Pada 9 Jun, iaitu 2  bulan selepas bayi mereka dikembalikan, anak mereka sekali lagi diculik. Saat Meena pulang ke rumah dari mencari barang terpakai, dia mendapati anaknya yang sedang tidur di buaian telah tiada.

Meena bersama suaminya segera ke balai polis untuk melaporkan dan selepas meneliti rakaman CCTV, mereka melihat seorang lelaki menaiki basikal bersama seorang bayi. Namun ketika pihak polis berjaya menjejaki lelaki itu, dia menyatakan dia tidak menaiki basikal pada hari itu tetapi rakannya yang tinggal di Rajasthan. 

Rumah suspek kemudiannya diserbu dan polis mendapati bayi Meena ada bersamanya. Suspek mengakui dia menculik bayi itu kerana dia dan isterinya tidak mempunyai anak sendiri. Apa yang mengejutkan ialah suspek dan suami Meena mengenali antara satu sama lain. Dipercayai, saat suspek mengetahui tentang bayi tersebut, dia nekad merancang untuk menculiknya. 

Dilaporkan selepas kejadian culik kali kedua itu, pihak polis mengunjungi keluarga Meena secara berkala untuk memeriksa keselamatan bayi tersebut. Menurut laporan CNN, lebih 43,000 orang kanak-kanak dilaporkan diculik tahun lepas di India. Lebih detail lagi CNN menyebut, seorang kanak-kanak di India diculik setiap 8 minit. 


Post a Comment

0 Comments