Remaja 13 Tahun Terbakar Teruk Selepas Gagal Meniru Video Di TikTok



Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dilaporkan melecur tahap 3 dan telah ditahan di hospital selama lebih 2 minggu selepas aksinya meniru video di aplikasi Tiktok yang dilihatnya, gagal. Menurut ahli keluarga mangsa, mereka perlu ke hadapan dan menceritakan tragedi yang menimpa Destini Crane supaya insiden ini tidak berlaku kepada orang lain.

Menurut Andrea Crane, kakak mangsa, kejadian yang menimpa adiknya itu telah berlaku pada 13 Mei lalu di dalam bilik mandi rumah mereka. Walaupun Destini masih dirawat dan belum mampu menceritakan apa yang berlaku, tetapi berdasarkan apa yang mereka temui di dalam bilik mandi serta hasil maklumat dari rakan-rakan Destini, mereka percaya yang mangsa cuba meniru video di Tiktok. 

Video yang memaparkan aksi seseorang melukis bentuk di cermin dengan menggunakan cecair mudah terbakar sebelum menyalakannya dengan api. Destini yang sememangnya 'hidup dengan TikTok' kemudiannya dipercayai membawa lilin, pemetik api serta rubbing alcohol ke dalam bilik mandi untuk mencuba aksi yang dilihatnya, tetapi gagal selepas berlaku satu letupan yang menyebabkan Destini dan barang lain terbakar. 

Ibu mangsa, Kimberly Crane menceritakan, ketika kejadian dia sedang berbual bersama ibunya di ruang tamu sebelum mendengar Destini menjerit memanggilnya. "Saya bergegas datang, membuka pintu bilik mandi dan melihat semuanya sedang terbakar. Baik Destini mahupun barang-barang di dalam bilik mandi." 

Kejadian itu telah menyebabkan Destini terbakar teruk di bahagian leher serta lengan tangan kanannya dan terpaksa menjalani tiga pembedahan cantuman kulit. Sejak dimasukkan ke hospital, dia telah dirawat di unit rawatan intensif dan mungkin memerlukan beberapa bulan lagi untuk pulih. Ini termasuk pemulihan bagi mengembalikan semula penggunaan lengan, pergerakan di leher, bahu dan jari.

"Kerana luka bakarnya itu, dia akan terbatas dalam pergerakannya. Terapi fizikal perlu dilakukan seumur hidupnya," cerita Andrea. Kimberly dan Andrea yang ditemui media sudi berkongsi kejadian yang menimpa Destini dengan harapan keluarga lain dapat memantau aktiviti media sosial anak-anak mereka. 

"Saya tidak menemaninya. Ketika dia menunjukkan kepada saya TikTok dan menunjukkan kepada saya apa yang dia lakukan, saya tidak ambil endah, "Oh saya sedang sibuk, ataupun saya sedang menyiapkan kerja sekolah," cerita Andrea. Sementara itu, Common Sense Media ketika dihubungi mengesyorkan agar ibu bapa berkongsi akaun media sosial dengan anak-anak supaya dapat dipantau apa yang dilihat dan dimuatnaik oleh anak-anak. 

Pada yang belum tahu, TikTok telah meningkatkan ciri kawalan dengan membenarkan ibu bapa menetapkan sekatan pada akaun anak-anak. Ciri baru yang disebut sebagai Family Pairing ini membolehkan ibu bapa memautkan akaun mereka dengan akaun anak-anak, di mana mereka dapat menyahaktif mesej, menghidupkan mod kandungan terhad serta menetapkan had masa skrin.

Post a Comment

0 Comments