Pengarah Filem, Babak Khorramdin Dibunuh Ibu Bapanya Kerana Tidak Berkahwin


Babak Khorramdin, 47, seorang pengarah filem dari Iran yang cemerlang dalam kerjayanya. Dia pernah memenangi anugerah untuk filem fiksyen pendek terbaik bertajuk Boor Bijadeh Rang di Festival Filem Antarabangsa Asa pada tahun 2009. 

Dia juga merupakan seorang pendidik yang telah banyak mencurah bakti kepada pelajar-pelajarnya. Namun pencapaiannya itu bagaimanapun tidak berjaya memenangi hati kedua ibu bapa Babak supaya menerima dirinya apa adanya.

Pada 16 Mei 2021, polis telah dipanggil ke bandar Tehbang Ekbatan selepas seseorang menjumpai bahagian tubuh manusia di dalam tong sampah. Mayat itu kemudiannya dikenalpasti sebagai Babak Khorramdin dan suspek kes pembunuhan ini adalah kedua ibu bapa Babak sendiri.

Menurut media, status Babak yang masih bujang walaupun umurnya hampir mencecah 50 tahun menjadi punca pembunuhan itu berlaku. Akbar Khorramdin, 81, dan isterinya Iran Khorramdin, 74, telah mengakui pembunuhan yang mereka lakukan semasa anggota polis datang ke rumah mereka.

Namun apa yang mengejutkan adalah, ini bukan pembunuhan pertama yang mereka lakukan sebaliknya pembunuhan ketiga. 10 tahun sebelum itu, Akbar dan Iran bersama-sama membunuh menantu lelaki mereka dengan alasan menantunya itu seorang pengedar dadah.

Mereka kemudiannya membunuh pula anak perempuan mereka bernama Arezou tiga tahun lalu kerana dia seorang anak yang rosak akhlak. Menurut mereka, Arezou bukan sahaja terlibat dengan penyalahgunaan dadah malah membawa teman lelakinya pulang ke rumah sesuka hati.

Kata Akbar, "Saya tidak berasa bersalah atas pembunuhan itu. Mereka yang saya bunuh sangat buruk akhlaknya." Isterinya menambah, "Saya tidak sedih sama sekali. Saya banyak menderita kerana mereka. Kami berdua merancangnya."

Babak dibunuh dengan cara diracun, ditikam sehingga mati sebelum badannya dikerat. Akbar menceritakan, ketika hari kejadian isterinya telah memasukkan racun ke dalam makanan Babak. 

"Pada hari jumaat malam ibunya memasak ayam dan kemudiannya meletakkan racun, tetapi malam itu dia tidak makan dan terus masuk ke dalam bilik untuk tidur, jadi kami menyimpan makanan itu di dalam peti sejuk. Pada keesokan harinya selepas dia bangun dari tidur barulah dia makan."


Babak yang langsung tidak mengesyaki rancangan ibu bapanya telah menjamah masakan ibunya, makanan paling sedap di dunia dengan berselera sebelum tidak sedarkan diri kira-kira pukul 5 petang. Tanpa berlengah Akbar mengikat kaki anaknya ke kerusi, membungkus kepalanya dengan plastik dan kemudian menikamnya beberapa kali di dada.

Mereka seterusnya membawa pula mayat Babak ke dalam bilik air, mengeratnya dan meletakkan bahagian badan Babak ke dalam tiga beg pakaian berasingan sebelum membuangnya ke lokasi berbeza. Potongan badan Babak telah dijumpai pada 16 Mei dan identitinya dikenalpasti melalui cap jari.

Pegawai mahkamah menyatakan, Akbar Khorramdin dan isterinya Iran Khorramdin dilihat masih waras tetapi mereka perlu menyiasat lebih lanjut. Untuk pengetahuan, Babak pernah berpindah ke London pada tahun 2010 untuk menyambung pelajarannya dalam bidang perfileman dan telah menghasilkan filem pendek terbaiknya seperti Crevice and Oath to Yashar ketika berada di sana.

Dia kemudiannya pulang ke Iran selepas itu untuk mengajar. Kematiannya sangat mengejutkan ramai pihak dan salah seorang pelajarnya menitipkan penghormatan terakhir dengan menyatakan,  "Selamat tinggal guru yang paling baik di dunia." 


 

Post a Comment

0 Comments