Minesh Patel Menangis Saat Ditangkap Pemburu Pedofil


Menangis teresak-esak. Itu helah yang dilakukan Minesh Patel, 27, saat diserbu kumpulan pemburu pedofil, Guardians of the North pada Februari 2020. Minesh yang menyangka dia akan bertemu dengan remaja perempuan berusia 14 tahun untuk berhubungan seks, terus menangis tersedu-sedu selepas didatangi Guardians of the North.

Dia kemudiannya menawarkan diri untuk bekerja dengan kumpulan itu secara percuma dan berulang kali merayu supaya dia dibebaskan. Dia turut menyatakan yang dia seorang pelajar, masih baru di kota London dan rekodnya bersih di negara asalnya, India.

Rayuan, air mata serta bermacam alasan, bukan perkara baru bagi pemburu pedofil. Mereka sudah lali. Jadi helah Minesh, nampaknya sedikit pun tidak terkesan di hati Joe Jones, 50-an, pengasas bagi kumpulan Guardians Of The North.

Kumpulan ini mula ditubuhkan pada tahun 2016 dan 2 tahun selepas itu, Guardians Of The North telah berjaya mengesan seramai 350 orang pedofil sebelum menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa. 

Walaupun terdapat permintaan dari pihak polis supaya menghentikan tugasan ini namun bagi mereka itu tidak akan berlaku. Pihak polis terlalu lembap sehingga mereka terpaksa bertindak sendiri.

Permintaan itu dikatakan berpunca dari tindakan kumpulan pemburu pedofil lain seperti N-Force Justice yang telah bertindak menyiar operasi mereka secara langsung dengan cara memecah masuk ke dalam rumah teman wanita salah seorang suspek.

Turut dilaporkan pada tahun 2019, sebanyak 8 orang suspek telah membunuh diri selepas perlakuan jijik mereka didedahkan pemburu pedofil. Namun bagi Scott, salah seorang anggota kumpulan Dark Justice yang bergabung bersama Guardians Of The North menyatakan, mereka sentiasa bertanggungjawab sepanjang melakukan operasi membawa pedofil ke muka pengadilan. 


Menceritakan pula tentang modus operandi, mereka mendedahkan yang mereka akan membuat akaun palsu di Facebook sebelum mengumpan pedofil dengan menggunakan gambar gadis bawah umur atas keizinan follower mereka. Untuk memperlihatkan akaun itu benar-benar wujud, mereka akan like pada halaman seperti Disney on Ice dan Justin Bieber serta turut berkawan dengan akaun palsu yang lain. 

Anggota kumpulan tidak akan mencari ataupun memulakan perbualan secara seksual sebaliknya suspeklah yang biasanya akan menghantar gambar kemaluan mereka terlebih dahulu dan meminta untuk bertemu bagi melakukan hubungan seks. Sekiranya suspek muncul di lokasi yang dijanjikan, dia akan ditahan oleh ahli kumpulan untuk diserahkan kepada pihak polis.

Sebelum itu, mereka akan bergerak dengan dua buah kenderaan dan walkie talkie akan menjadi medium untuk mereka berhubung. Satu kumpulan bergerak ke arah suspek manakala satu lagi kumpulan yang berada di dalam kereta bertindak menghalang kereta suspek supaya dia tidak dapat melarikan diri. 

Operasi yang mereka lakukan akan dirakam, sebagai bukti mereka tidak melanggar undang-undang dan setelah mereka menemui suspek yang tepat, barulah mereka menghubungi pihak polis seperti yang berlaku pada Minesh Patel.
Minesh sebelum ini dipercayai telah bersembang lucah dengan gadis bawah umur di aplikasi WhatsApp. Malangnya tanpa dia ketahui, gadis itu tidak pernah wujud sebaliknya dia sedang berurusan dengan salah seorang anggota Guardian of the North yang menyamar. 

Minesh yang akhirnya mengaku bersalah telah dijatuhi hukuman 28 bulan penjara dan bakal didaftarkan sebagai pesalah seks.

Post a Comment

0 Comments