Majikan Dari Neraka : Piang Ngaih Don Ditemui Meninggal Dunia Dengan Berat Hanya 24kg

Kejam! Piang Ngaih Don ditemui meninggal dunia dengan pelbagai kesan kecederaan di tubuhnya dan ketika dia ditemui beratnya hanya 24kg. Piang, warga Myanmar datang ke Singapura buat pertama kali semata-mata mahu mencari rezeki sebagai pembantu rumah, demi menampung perbelanjaan anak lelakinya, 3, yang ditinggalkan di kampung halaman. 

Pada Mei 2015, dia mula bekerja di kediaman Gaiyathiri Murugayan, 40. Mangsa dikatakan menerima bulat-bulat syarat Gaiyathiri yang tidak membenarkannya mengambil cuti serta mempunyai telefon bimbit bagi mendapatkan gaji lebih dan rehat yang cukup. 

Sementara itu bagi Gaiyathiri, perasaan benci terhadap pembantu rumahnya itu terbit sedikit demi sedikit selepas merasakan mangsa seorang yang lembap, pengotor dan kuat makan. Pada mulanya, Gaiyathiri hanya menengking ketika mangsa melakukan kesalahan, namun sejak Oktober 2015, dia mula mendera mangsa secara fizikal.

Gaiyathiri menyerang mangsa dengan memijak, menampar, menolak, menumbuk, dan menendangnya hampir setiap hari tanpa belas kasihan. Dia juga memukul mangsa dengan penyapu, senduk logam serta benda keras yang lain. Tidak cukup dengan itu, rambut mangsa akan dijambak kemudiannya digoncang dengan kasar sehingga menyebabkan rambutnya gugur. 

Selain itu, makanan mangsa turut dicatu tetapi kudratnya tetap dikerah. Mangsa hanya diberi sekeping roti yang direndam di dalam air, makanan sejuk dari peti ais ataupun sedikit nasi. Kesannya, berat badan mangsa menurun 15kg dalam masa 14 bulan. Tindak-tanduk mangsa sentiasa diperhati hinggakan ketika mandi atau pun membuang air, mangsa tidak dibenarkan menutup pintu bilik air.

Gaiyathiri juga mengarahkan mangsa sentiasa memakai beberapa lapis topeng muka kerana berasa jijik untuk melihat muka pembantu rumahnya itu. Dilaporkan, dalam satu kejadian pada Jun 2016, Gaiyathiri ada mendatangi mangsa yang sedang menyeterika pakaian. Tidak semena-mena dia bertindak menekap seterika panas itu ke dahi mangsa sebelum beralih pula ke bawah lengan mangsa sambil berkata, "Kau suka bakar barang orang lain kan, macammana kalau aku bakar tangan kau pula." 

Ketika klip rakaman CCTV dari kediaman Gaiyathiri didedahkan di mahkamah, jelas kelihatan mangsa dalam keadaan lemah. Rambutnya yang diikat dan disimpulkan sentiasa dijambak Gaiyathiri. Tubuh mangsa ditolak sesuka hati dan mangsa terpaksa merelakan setiap perlakuan kejam Gaiyathiri kepadanya. Selama 12 malam sebelum kematian mangsa, tangannya sentiasa terikat pada jeriji tingkap supaya dia tidak dapat meninggalkan bilik. 

Sepanjang penderaan berlangsung, hanya sekali sahaja Gaiyathiri membawa mangsa ke klinik untuk merawat luka dan lebam mangsa. Ketika doktor melihat kesan lebam di pipi dan mata mangsa, dengan pantas Gaiyathiri menjawab yang pembantu rumahnya itu sering terjatuh semasa melakukan tugasannya. 

Pada 25 Julai 2016, sekitar jam 11.40 malam, mangsa masih dikerah tenaganya. Mangsa yang sedang mencuci pakaian telah ditumbuk, dijambak dan dipukul di kepalanya dengan botol pencuci pakaian kerana Gaiyathiri merasakan mangsa terlalu lembap. Tidak cukup dengan itu, Gaiyathiri memanggil pula ibunya, Prema, dan mereka berterusan menyerang mangsa. Prema mengheret mangsa dari dapur ke dalam bilik tidur sementara Gaiyathiri bertindak memijak perut mangsa. Mangsa juga telah ditumbuk, dicekik dan disimbah dengan air.

Ketika mangsa menyuarakan untuk menjamah sesuatu kerana lapar, Gaiyathiri tidak membenarkan dan mengarahkannya supaya terus tidur. Tangannya kemudian diikat di jeriji tingkap dan sekali lagi Gaiyathiri memijak perut mangsa sebelum meninggalkannya di lantai dalam keadaan pakaian yang basah. Sekitar jam 5 pagi, Gaiyathiri pergi ke bilik mangsa untuk mengejutkannya tetapi mangsa tidak terjaga. 

Berang! Gaiyathiri memijak dan menendang kepala serta leher mangsa berulang kali. Menjambak rambut dan mencekiknya. Ketika itu, Prema turut berada di dalam bilik mangsa. Melihat keadaan mangsa yang langsung tidak bertindak balas, mereka tahu sesuatu telah berlaku namun mereka tetap membiarkan mangsa. Pada jam 9.22 pagi, Prema cuba memberi secawan minuman bijirin Nestum sambil menghangatkan tangan dan kaki mangsa tetapi mangsa tetap terkulai layu.

Prema kemudiannya menyarankan supaya Gaiyathiri memanggil doktor ke rumah. Sementara menunggu ketibaan doktor, mereka dengan segera menukar pakaian mangsa dan membaringkannya di atas sofa. Ketika doktor tiba kira-kira pukul 10.50 pagi, dia melihat mangsa terbaring di atas sofa dalam keadaan mulut ternganga, nadi telah terhenti, kulitnya sejuk dan matanya terbuka. 

Mangsa diisytiharkan meninggal dunia pada jam 11.30 pagi. Dalam pada itu, baik Gaiyathiri mahupun Prema, kedua-duanya cuba berlakon dengan berpura-pura terkejut dengan menyatakan mangsa masih bergerak sebelum doktor tiba. Dengan berat cuma 24kg, terdapat pula pelbagai luka dan lebam di sekitar tubuh mangsa, dengan mudah polis dapat menghidu penderaan di sebalik kematian Piang Ngaih Don. 

Walaupun pada tahun 2019, keputusan laporan psikiatri mendedahkan yang Gaiyathiri menderita gangguan kemurungan utama dan gangguan keperibadian obsesif kompulsif (OCPD), namun media melaporkan pada Jun 2021, mahkamah telah menjatuhkan hukuman 30 tahun penjara ke atasnya. Manakala tuduhan ke atas suami serta ibu Gaiyathiri masih tertangguh di mahkamah.

Post a Comment

0 Comments