Kisah Pembunuhan Surono : Mayat Disembunyikan Bawah Ruang Solat Selama Berbulan-bulan

Jam menunjukkan pukul 11 malam. Bahar Mario, 20-an, yang bekerja di Bali baru sampai ke rumah orang tuanya di Jember. Kedatangannya bukan untuk menziarahi sebaliknya mahu melunaskan dendam yang telah lama terbuku dalam hati.

Linggis sepanjang 64 cm dengan berat 10kg dicapai Bahar sebelum dihayunkan ke kepala bapanya, Surono, yang sedang nyenyak tidur di dalam bilik. Pukulan itu menyebabkan bahagian kiri muka bapanya hancur. Darah memercik keluar. Dengan pantas, ibunya, Busani mematikan lampu di hadapan rumah.

Rancangan membunuh bapanya bukan dirancang seorang diri tetapi turut didalangi ibunya. Busani dikatakan marah pada suaminya kerana lelaki berusia 50 tahun itu dipercayai curang dibelakangnya. Manakala Bahar berdendam dengan bapanya kerana terlalu kedekut. 

Dikatakan, hasil tuaian kopi di ladang milik bapanya lumayan tetapi dia hanya diberi sedikit wang dari jumlah keseluruhan yang diperoleh bapanya. Ini menyebabkan Bahar berdendam yang kemudiannya menceritakan rasa sakit hatinya kepada ibunya. Bagai orang lapar dihidang nasi goreng USA, Busani yang juga berkecil hati dengan suaminya turut sama meluahkan rasa marahnya. 

Saat keluar perancangan dari mulut Bahar yang mahu membunuh bapanya demi membolot semua harta, Busani langsung tidak menegah. Sebaliknya dia turut sama menjayakan rancangan pembunuhan suaminya itu. Surono telah dibunuh pada akhir bulan Mac 2019 dan selama berbulan-bulan mayatnya kekal berada di dalam kawasan rumah tanpa pengetahuan sesiapa.

Ini kerana selepas Surono dipukul dengan linggis sehingga mati, Bahar dan Busani seterusnya bertindak mengangkat mayat Surono ke belakang rumah sebelum dikebumikan bersama senjata pembunuhan, linggis, di dalam lubang sempit yang telah digali Bahar dengan posisi kaki Surono dibengkokkan ke kepalanya.

Setelah selesai menutup lubang menggunakan simen, Bahar mengambil wang Rp 6 juta di dalam beg Surono dan menghantar Busani ke rumah neneknya dengan motosikal sebelum dia pulang ke rumah isterinya. Motor milik bapanya itu kemudian dijual dengan harga Rp 19 juta.

Selang beberapa hari Busani memberitahu Bahar yang simen pada tempat mayat Surono dikebumikan merekah. Rentetan dari itu, belakang rumah mereka yang pada asalnya hanya berdindingkan buluh mula dibina dengan sempurna. Mereka bina dapur, tandas serta garaj motor. Manakala tepat di atas kubur Surono, mereka bina musolla kecil.

Pada jiran-jiran dan saudara-mara, mereka memberitahu yang Surono telah pergi ke luar daerah untuk bekerja. Mereka turut menyatakan Surono telah menceraikan Busani dan dia sudah bernikah dengan wanita lain. Dengan itu pada Mei 2019, Busani selamat melangsungkan pernikahannya dengan seorang penduduk setempat bernama Jumarin. 

Kematian Surono langsung tidak berjaya dihidu mahupun dicurigai dan semuanya berjalan lancar selama berbulan-bulan sehinggalah pada 3 November 2019, kes ini akhirnya diketahui umum. Itupun selepas percubaan Bahar memfitnah Jumarin gagal. Dilaporkan Bahar berniat jahat dengan memfitnah Jumarin atas kematian bapanya selepas dia berasa marah dengan tindakan Jumarin yang menceraikan ibunya semata-mata mahu kembali pada isterinya yang telah pulang dari Malaysia. 

Pada 3 November 2019, dia yang pulang ke rumah ibunya bertindak berjumpa Ketua Dusun Juroju, Misri, dan menceritakan tentang pembunuhan bapanya. 

Bahar menceritakan kepada saya, di dalam rumahnya terdapat mayat bapanya yang dibunuh Jumarin. Tepat di bawah lantai ruang solat.

Bagi menguatkan lagi dakwaannya, Bahar turut bercerita pada jiran yang dia ada bermimpi bapanya datang dan menyatakan di mana tempat dia telah dikebumikan. Misri dan Bahar kemudiannya pergi ke balai polis untuk membuat laporan. Niat jahat Bahar yang mahu memerangkap Jumarin bagaimanapun gagal. 

Jumarin disahkan tidak terlibat dalam kes pembunuhan Surono sebaliknya Bahar dan Busani lah yang ditangkap sebagai dalang di sebalik pembunuhan ini. Menurut Ketua Polis Jember, AKBP Alfian Nurrizal dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Jember pada 7 November 2019 menyatakan, 

Pembunuhan ini dilakukan dengan linggis. Linggis itu panjangnya 65 sentimeter dengan diameter 4 sentimeter dan berat lebih kurang 10 kilogram. Barang bukti tersebut ada pada mayat mangsa. Hasil bedah siasat, bahagian pipi, tulang sebelah kiri dan rahang atas hancur.

Alfian menambah,

Mungkin pada saat darah memercik keluar, darah itu masuk ke dalam pernafasan, mengalir ke bahagian paru-paru hingga menyebabkannya meninggal dunia.

Hampir setahun kes ini diketahui umum, akhirnya pada 3 Julai 2020 media melaporkan yang mahkamah telah menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara ke atas Busani dan 20 tahun penjara ke atas Bahar. Busani dalam satu temuramahnya menyebut,

Saya berasa bersalah dan menyesal punya suami seperti ini, punya anak seperti ini. Tetapi, saya juga bersalah pada suami saya.



Post a Comment

0 Comments