Kisah Karla Jacinto : Mangsa Pemerdagangan Manusia

Pandangan Karla Jacinto kosong. Bunyi bising dari luar taman Mexico City  langsung tidak mengganggunya. Dengan suara sedikit bergetar, Karla menyebut 43,200 kali sambil matanya memandang tepat ke arah mata penulis.

Itu anggaran terbaik memandangkan selama 4 tahun Karla menjadi mangsa pemerdangan manusia, dia terpaksa melayan nafsu seks 30 orang lelaki setiap hari, 7 hari seminggu tanpa cuti. Kisahnya ini menjadi bukti kekejaman di sebalik pemerdagangan manusia di Mexico dan Amerika Syarikat.

Yang mana jenayah itu telah merosakkan puluhan ribu gadis Mexico seperti Karla tetapi itu tidak penting. Maruah Karla mahupun kanak-kanak lain bukan apa-apa jika mahu dibandingkan dengan keuntungan yang bakal mereka peroleh.

Menurut Karla, dia yang dilahirkan dalam keluarga kucar-kacir telah berhadapan dengan detik hitam sejak kecil.

Saya dilahirkan dalam keluarga yang berkonflik. Seawal usia 5 tahun, saya telah pun dinodai secara seksual oleh saudara mara.

Malangnya tiada siapa yang peduli hatta wanita yang membawanya 9 bulan di dalam kandungan. Semuanya ditelan sendiri sehinggalah usia Karla 12 tahun. Dia telah berjumpa seorang lelaki 10 tahun lebih tua dari usianya. Lelaki berusia 22 tahun itu telah memberinya sedikit sinar. Sentiasa menghulurkan tangan serta sering memberi bahu sebagai sandaran semasa Karla memerlukan. 

Menurut Karla, dia mengenali suspek ketika sedang menunggu beberapa orang rakannya berdekatan stesen kereta bawah tanah di Mexico City sebelum didatangi seorang budak lelaki yang menjual gula-gula. Budak lelaki itu menghulurkan sebiji gula-gula kepadanya dan menyatakan ia hadiah daripada seseorang.

5 minit kemudian, suspek menghampirinya dengan memperkenalkan diri sebagai jurujual kereta terpakai. Kejanggalan yang Karla rasakan pada mulanya mengendur selepas mengetahui suspek juga dianiaya semasa kecil. Karla menyenangi lelaki itu memandangkan suspek menonjolkan sisinya yang lemah lembut dan penyayang.

Seminggu selepas itu, suspek ada menghubunginya untuk mengajak keluar bersiar bersama. Tanpa berselindung Karla mengakui yang dia sangat teruja. Lebih-lebih lagi ketika itu suspek muncul dan menjemputnya dengan kereta Firebird Trans Am berwarna merah. 

Karla kemudiannya tinggal bersama suspek selepas ibunya bertindak mengunci pintu dan tidak membenarkannya masuk ke dalam rumah. 

Saya tinggal bersamanya selama tiga bulan di mana dia melayan saya dengan sangat baik. Dia menyayangi saya, membelikan saya pakaian, sentiasa memberikan perhatian, membelikan saya kasut, bunga, coklat dan semuanya kelihatan sempurna.

Bagaimanapun layanan umpama puteri itu hanya sementara. 

Dia mula memberitahu saya semua apa yang perlu saya lakukan, berapa kadar yang perlu saya kenakan, perkara yang perlu saya lakukan dengan pelanggan dan berapa lama, cara saya melayan pelanggan dan cara saya bercakap dengan mereka supaya mereka memberikan saya wang lebih.

Itu adalah titik permulaan kehidupan Karla sebagai pelayan seks selama 4 tahun. Dari usianya 12 tahun hingga 16 tahun. 

Saya bermula pada pukul 10 pagi dan hanya akan selesai pada tengah malam. Kami berada di Guadalajara, salah satu bandar terbesar di Mexico selama seminggu. Beberapa orang lelaki akan mentertawakan saya kerana saya menangis. Saya terpaksa memejamkan mata supaya saya tidak melihat apa yang mereka lakukan kepada saya.

Karla turut dihantar ke beberapa bandar lain. Dia akan dibawa ke rumah pelacuran, motel, jalan-jalan yang sememangnya terkenal dengan aktiviti pelacuran ataupun dibawa ke rumah pelanggan. Tiada istilah cuti bagi pekerjaannya. Dia terpaksa melayan 30 pelanggan setiap hari, 7 hari dalam seminggu.

Karla ketika itu bukan hanya menjadi makanan si hidung belang tetapi dia terpaksa menjadi punching bag lelaki yang pernah melayannya dengan baik suatu ketika dahulu. Dalam satu kejadian suspek pernah memukul seluruh badan Karla dengan rantai, menumbuk, menendang, meludah ke muka dan membakarnya dengan besi.

Setahun selepas itu ketika usianya 13 tahun, terdapat serbuan dari pihak polis dan waktu itu Karla sangat percaya yang dia akan diselamatkan. Namun sebaliknya telah berlaku. Pegawai membawa mereka ke dalam sebuah bilik sebelum merakam video dan mengugut akan menghantar klip itu pada keluarga jika mereka tidak memberikan khidmat seksual kepada pegawai polis.

Saya fikir mereka sangat menjijikkan. Mereka tahu kami kanak-kanak di bawah umur. Ada kanak-kanak yang hanya berusia 10 tahun. Ada juga kanak-kanak yang sedang menangis. Kami menyatakan kami cumalah gadis di bawah umur tetapi tiada siapa yang peduli.

Serbuan itu langsung tidak mengubah nasib Karla. Dia tetap menjadi hidangan si hidung belang dan ketika usianya 15 tahun, Karla selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Karla hanya sempat bersama bayinya selama sebulan sebelum dibawa pergi oleh suspek sehingga umur anaknya setahun lebih, barulah Karla dapat menatap semula wajah anaknya.

Pada tahun 2008, ketika usia Karla 16 tahun, akhirnya dia berjaya diselamatkan dalam operasi anti pemerdagangan manusia di Mexico City. Karla bernasib baik. Sekurang-kurangnya dia berjaya keluar dari kehidupan nerakanya. Tetapi mungkin tidak berlaku pada mangsa lain, dijual dan dilacurkan sehingga nafas mereka yang terakhir.

Post a Comment

0 Comments