Kerana Cemburu, Muka Julia Ditoreh Menyerupai Watak Chucky


Kerana hasad dengki, 2 orang remaja yang hanya dikenali sebagai Flor, 18, dan Maira, 16, sanggup bertindak di luar kewarasan dengan menyerang Julia Alvarez, 15, menggunakan pisau sehingga parah.

Laporan dari Daily Mail pada Oktober 2014 menyebut, kedua-dua remaja itu dikatakan terlalu cemburu dengan Julia yang dianggap cantik dan menarik. Ketika kejadian, Julia yang dalam perjalanan menuju ke rumahnya di Argentina telah didatangi Flor dan Maira.

Mereka kemudiannya menendang dan menumbuknya sehingga jatuh ke tanah. Tidak cukup dengan itu, mereka bertindak lebih gila dengan menoreh muka dan badan Julia berulang kali sebelum meninggalkannya dalam keadaan berlumuran darah. Julia yang dijumpai selepas itu oleh orang awam telah dihantar ke hospital dengan ambulans untuk menerima rawatan.


Menurut keterangan mangsa, semasa serangan itu berlaku, Flor dan Maira menyatakan, "Semua orang cakap kau cantik. Kau tidak akan lagi kelihatan cantik selepas kami kerjakan kau. Mereka akan panggil kau Chucky!"

Serangan itu telah menyebabkan Julia menerima berpuluh jahitan di muka dan belakang badannya bagi mencantumkan semula kepingan kulitnya yang terbuka, namun malangnya serangan itu tidak mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak berkuasa.

Polis di bandar Juan Domingo Peron, di wilayah Formosa Argentina utara, dilaporkan enggan terlibat dalam kes ini pada mulanya sehinggalah adik perempuan Julia iaitu Yeni, bertindak menyiarkan gambar kecederaan kakaknya di media sosial. 


Dalam sekelip mata, gambar Julia menjadi tular dan kemudiannya berlaku tunjuk perasaan besar-besaran bagi menekan pihak polis yang sebelum ini memejam mata. Menurut Yeni, "Mereka cemburu dengan kakak saya sudah lama dan selalu menghinanya, tetapi kami tidak pernah menyangka yang mereka akan bertindak sejauh ini."

"Saya rasa mereka mabuk atau mengambil dadah seperti biasa. Saya cuba untuk kuat demi kakak saya tetapi setiap kali melihatnya saya akan menangis. Mereka telah merosakkan kehidupannya. Setiap kali dia melihat cermin, dia rasa mahu membunuh diri kerana merasakan dia sangat hodoh."

Pihak polis akhirnya menahan kedua-dua suspek untuk disoal siasat. Namun, Maira telah dilepaskan selepas itu kerana dianggap terlalu muda. Manakala Flor kekal dalam tahanan. Dalam keterangannya, Flor menyatakan Julia telah menghina mereka yang menyebabkan mereka nekad membalas dendam.

Sementara itu, penduduk setempat menuntut hukuman yang sewajarnya bagi kedua-dua suspek. Jika tidak, kedua-dua suspek akan menerima nasib yang sama seperti Julia. 

Nota : Kes ini aku tak jumpa kesudahannya. Maaf🦋

Post a Comment

0 Comments