Detik Cemas Seorang Kanak-kanak Diselamatkan Anggota Polis Dari Diculik


Pada 2 Julai lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun yang tidak didedahkan identitinya, telah diculik seorang lelaki bernama Robbie Wildt, 40, ketika dia sedang bermain basikal seorang diri di halaman depan rumahnya di Valley Station, Kentucky sekitar jam 5.40 petang. 

Menurut keterangan pihak polis, Robbie yang keluar dari keretanya telah menarik kolar baju kanak-kanak tersebut dan kemudiannya menolak mangsa ke tempat duduk penumpang sebelum beredar memecut laju.

Seorang jiran, Prentiss Weatherford, yang kebetulan berada di beranda rumahnya telah menyaksikan adegan penculikan itu. Dengan pantas dia mencapai kunci kereta dan pergi bersama bapanya untuk mengejar suspek sambil mencatat nombor plat kenderaan.

Talian 911 seterusnya didail dan mereka memaklumkan tentang penculikan yang terjadi. "Ia berlaku dengan sangat cepat. Dia datang dari selekoh jalan, memarkir kereta dan beredar dalam 15 saat," cerita Prentiss. 

Kereta Robbie berjaya dikesan oleh Sarjan Joe Keeling dan pegawai Jason Burba dalam 10 minit, yang mana ketika itu suspek telah memarkir keretanya di jalan. Dari dalam kereta peronda, dapat dilihat Jason keluar dari keretanya sambil mengacu pistol ke arah kereta suspek.

"Open the passenger door!" Jerit Jason sebanyak dua kali. Kedengaran juga suara Joe, "That might be our victim." Jason kemudiannya dilihat menyimpan pistolnya, membuka pintu tempat duduk penumpang. Di dalam kereta, dia menjumpai seorang kanak-kanak perempuan yang sedang menangis teresak-esak. 


"Hello. It's okay. come here." Sapa Jason sambil mendepakan tangannya sebelum mengangkat kanak-kanak itu ke pelukannya. Kedengaran suara mangsa dalam esakan "I want my daddy.." Sementara itu, Joe mengarahkan Robbie keluar dari keretanya dengan tangan ke atas.

Robbie yang dalam posisi melutut di tanah seterusnya telah digari dan ditahan. Dia akan didakwa dengan satu pertuduhan menculik kanak-kanak di bawah umur. Tindakan pantas saksi serta anggota polis yang melaksanakan tugas mereka dengan cekap berjaya mematahkan percubaan penculikan dalam masa hanya 30 minit.

Bercakap pada media tempatan, Jason bapa kepada 4 orang anak menyatakan, tugas seperti ini sukar. Seolah-olah dunia berhenti berputar. Setiap saat dirasakan seperti berjam-jam. Cemas.



Post a Comment

0 Comments