Kisah Astini : Membunuh Kerana Gagal Bayar Hutang

Astini

Jantung Astini Sumiasih berdegup laju. Dia tahu sekejap sahaja lagi nyawanya bakal melayang. Astini yang berada dalam posisi duduk dan matanya ditutup dengan kain hanya menanti penuh debaran. Sementara itu, hanya berjarak 5 meter di hadapannya, 12 anggota penembak dari Brigade Polis Daerah Jawa Timur telah bersiap sedia untuk melaksanakan hukuman ke atas Astini. Selepas isyarat diberikan, picu ditarik dan bang! Sebanyak enam peluru menembusi jantung Astini. Tubuh Astini kemudiannya jatuh dan terkulai layu ke lantai. 

Tanggal 20 Mac 2005, kematian 3 orang wanita yang dibunuh dan kemudiannya dikerat kepada 10 bahagian akhirnya terbela. Jasad Astini seterusnya dibawa ke hospital Daerah dokter Soetomo Surabaya, Jatim, sebelum dikebumikan. Bagi keluarga Puji Astutik, salah seorang mangsa Astini, mereka mengakui berasa lega dan puas dengan kematian Astini walaupun mereka terpaksa menunggu 9 tahun lamanya. “Saya sudah senang, saya sudah puas," ungkap Suharti, ibu Puji Astutik. 

9 tahun sebelum kematian Astini, penduduk di Kampung Wonorejo, Surabaya, kecoh apabila mereka menemui satu potongan kepala di dalam beg plastik di Sungai Wonorejo. Penemuan itu kemudiannya dilaporkan kepada Polis Kota Tegalsari sebelum dihantar ke bilik mayat di Hospital Dr. Soetomo. Berita tentang penemuan kepala tanpa badan itu akhirnya sampai ke telinga Agus Purwanto yang sedang kehilangan kakaknya, Puji Astutik. Tanpa berlengah, Agus segera menuju ke hospital untuk membuat pengecaman dan selepas itu dia mengesahkan yang kepala itu sememangnya milik kakaknya yang hilang. 

Astini kemudiannya telah ditahan dan menjadi suspek utama dalam kes ini berikutan hasil maklumat dari beberapa orang saksi yang menyatakan mereka ada melihat Puji Astutik masuk ke dalam rumah Astini. Antara mangsa dan suspek bukanlah orang asing sebaliknya mereka ini berjiran. Di hadapan pihak polis, tanpa berdolak-dalih Astini mengakui yang dia telah membunuh Puji Astutik.

Ceritanya, pada Februari 1996, Puji telah datang ke rumah Astini untuk menagih hutang sebanyak Rp 20.000. Namun Astini gagal membayarnya ketika itu, yang akhirnya menyebabkan Puji mengeluarkan kata-kata kesat kepadanya. Astini yang tersinggung seterusnya mencapai besi dan memukul kepala Puji sehingga mati. Mayat Puji kemudiannya diseret ke dapur dan ditutup dengan tikar sebelum mayatnya dikerat kepada 10 bahagian. Seterusnya potongan itu dimasukkan ke dalam plastik dan dibuang ke tempat yang berbeza iaitu beberapa tempat pembuangan sampah dan juga di dalam sungai. 

Selain Puji, Astini turut mengakui membunuh 2 orang lagi jirannya iaitu Rahayu dan Sri Astutik. Dengan pengakuan yang dibuatnya itu, maka terungkailah misteri kehilangan dua orang penduduk Kampung Malang sebelum ini. Astini membunuh Rahayu pada Ogos 1992 selepas dia gagal melangsaikan hutangnya kepada Rahayu sebanyak Rp 1.250.000. Sri Astutik pula dibunuh setahun selepas itu pada 1 November 1993 kerana hal yang sama. Astini yang tidak mampu melangsaikan hutangnya sebanyak Rp 250 ribu dan Rp 300 ribu, nekad menghabiskan nyawa Sri Astutik. Alasan Astini melakukan kedua-dua pembunuhan itu sama, dia berasa kecil hati kerana dihina. 

Pada 17 Oktober 1996, Mahkamah Daerah Surabaya menjatuhkan hukuman mati ke atas Astini. Dia kemudiannya mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi Jawa Timur, tetapi hukumannya tidak berubah. Dia tetap akan dihukum mati. Astini yang tidak berputus asa, mengemukakan pula rayuannya ke Mahkamah Agung. Namun, keputusan Mahkamah Agung pada bulan Jun 1997 tetap sama. Seboleh-bolehnya Astini cuba untuk melepaskan diri dari dihukum mati. Selama 9 tahun dia berjaya melewatkan hukumannya sehinggalah pada Mac 2005 akhirnya Astini ditembak mati. 

Post a Comment

0 Comments