Cinta Sejati : Bersatu Selepas 15 Tahun Menghilang


Selepas hampir 15 tahun menjalani hidup yang kosong tanpa ingatan masa lalu, akhirnya dia dapat mengenali dirinya semula. Aku adalah James A. McDonnell. Anne?. Ya! Nama isteri aku Anne. Adakah Anne masih hidup? Dia sudah berkahwin lain? Jantungnya seakan mahu terhenti. James takut.

Sebelum ini, James dan Anne yang menetap di Larchmont, pinggir bandar New York telah berkahwin pada tahun 1960 dan mereka tidak di kurniakan dengan cahaya mata. Pada bulan Februari dan Mac 1971, ketika usia James 50 tahun dia berhadapan dengan beberapa siri kemalangan seperti tergelincir di tangga ketika membawa sampah dan menyebabkan belakangnya lebam serta kepalanya terhantuk. Beberapa hari kemudiannya, kereta yang dipandu James telah hilang kawalan dan seterusnya melanggar tiang telefon. Dalam kejadian itu, dahinya telah terhantuk di cermin hadapan kereta. 10 hari selepas itu, sekali lagi James terlibat dalam kemalangan apabila dia melanggar tiang. Kali ini James di temui dalam keadaan tidak sedarkan diri. Dia telah dimasukkan ke dalam wad dan dirawat selama 3 hari akibat kecederaan pada otaknya.

Jika di lihat secara luaran, tiada apa yang perlu di risaukan kerana semua kemalangan itu tidaklah kritikal terhadap nyawanya. Namun tanpa dia sangka, kemalangan yang berulang itu bakal menyebabkan dia kehilangan ingatannya. Pada 29 Mac 1971, James telah pergi ke Lapangan Terbang Kennedy untuk menjemput keluarga Anne dan kemudiannya menghantar mereka ke rumah kakak iparnya dengan menggunakan kereta jenis wagon milik rakannya. Semasa dia memulangkan kereta pada pukul 10 malam, tanpa dia sedari kad pengenalan dirinya telah terjatuh di dalam kereta sebelum dia berjalan pulang ke rumahnya. Dia menolak untuk dihantar pulang kerana kepalanya terlalu sakit ketika itu. James berfikir dengan berjalan kaki selama 15 minit menuju ke rumahnya dapat meredakan sakit yang dia alami.

Pukul 11.15 malam, Anne menghubungi pemilik kereta wagon dan bertanyakan tentang keberadaan James namun dia di beritahu yang James telah bergerak pulang. Ini bukan James!, getus hati Anne. Biasanya jika suaminya itu pulang lewat, dia akan menghubunginya. Pada pukul 2 pagi, Anne seterusnya menghubungi pihak polis bagi melaporkan kehilangan suaminya. Selepas 24 jam kehilangan James, siasatan yang di ketuai oleh Detektif George Mulcahy giat di jalankan. Mereka mengambil berat pada setiap maklumat yang di berikan oleh orang awam bahkan turut memeriksa setiap mayat yang tidak di kenali di bilik mayat New York.

Mulcahy percaya yang kehilangan James tiada kaitan langsung dengan apa-apa jenayah yang dia lakukan kerana James seorang yang baik dan jujur. Siasatan seterusnya mengesahkan yang James tiada kecenderungan untuk membunuh dirinya serta tiada bukti yang dia menjadi mangsa kemalangan ataupun apa-apa serangan. Akhirnya, hanya satu rumusan yang boleh di buat oleh Mulcahy iaitu James menghidap amnesia.

Selepas kehilangan James, selama berminggu-minggu Anne tidak mampu untuk menenangkan dirinya. Dia mundar-mandir di dalam rumahnya sambil meramas tangannya dan berdoa. Lebih menyedihkan apabila Anne selalu bermimpi yang James telah kembali kepadanya namun selepas dia bangun, James tiada di sana. Apa yang mampu dia lakukan selepas itu ialah meletakkan sepenuh kepercayaannya kepada tuhan. Dia yakin yang satu hari nanti tuhan akan memberikannya jawapan.

Anne tetap tinggal di rumahnya dan mula mencari pekerjaan bagi menampung hidupnya selepas ketiadaan James. Pelbagai pekerjaan dia lakukan seperti menjadi pengasuh, bekerja di pasar raya dan turut pernah bekerja di kantin hospital. Pada tahun 1977, Anne akhirnya bekerja sebagai seorang jururawat. Walaupun pada hari cuti, dia akan bekerja bagi menyibukkan dirinya. “Saya kena jalani hidup dengan sebaik mungkin.” Kata-kata yang selalu di sematkan dalam dirinya. Keyakinannya yang James akan pulang tidak pernah pudar. Baju James di simpan rapi dalam almari baju dan alat pencukur suaminya kekal berada di dalam kabinet bilik air.

Sementara itu, pada hari kejadian 29 Mac 1971, James yang berjalan pulang ke rumahnya telah pengsan. Selepas dia sedarkan diri, ingatannya kosong. Dia gagal mengenali siapa dirinya dan di mana dia tinggal. Apa yang berlaku selepas itu tidak begitu jelas. Mungkin James telah menaiki kereta api ke Grand Central Terminal, kemudian menaiki kereta api yang lain ataupun bas menuju ke selatan. Apa yang dia tahu, tiba-tiba dia sudah pun berada di pusat bandar Philadelphia, sebuah bandar yang belum pernah dia kunjungi sebelum ini.

Walaupun ketika itu ingatannya kosong, tetapi entah kenapa James tidak pernah terfikir untuk pergi mendapatkan rawatan di hospital ataupun membuat aduan ke balai polis. Dia meneruskan kehidupannya di sana dengan menggunakan nama Jim Peter. Nama yang di ambil selepas dia melihat iklan mengenai Jim Peter seorang broker hartanah. Selama bertahun, pelbagai pekerjaan James lakukan bagi menampung kehidupannya dan akhirnya memutuskan untuk bekerja sepenuh masa di restoran P&P. Di sana, semua orang sangat menyenangi James kerana kebaikannya. Dia pula langsung tidak pernah membicarakan tentang masa lalunya. Namun pernah sekali seseorang menyatakan kepadanya, “Dari loghat percakapanmu, awak mesti berasal dari New York.” James hanya menjawab, “Saya pun rasa begitu.”

Bagi Cheryle Sloan yang merupakan seorang pelayan di P&P, James seorang yang istimewa. “James sangat menyayangi kanak-kanak. Dia sering menghiburkan anak-anak yatim dengan menjadi Santa Claus. Dia turut membela janggut putihnya bagi menampakkan dia benar-benar seperti Santa Claus yang asli. Sudah pasti kami tertanya-tanya tentang masa lalunya sehinggakan ibu saya memberi dua pilihan. Samaada dia bekas paderi ataupun bekas penjenayah."

Manakala bagi Bernadine Golashovsky, perkenalannya dengan James sangat bermakna. “Ayah saya telah meninggal dan James pula tidak mempunyai keluarga, jadi kami saling melengkapi. Saya telah menganggapnya seperti bapa, dan semua ahli keluarga saya, telah menjadi ahli keluarganya. Anak-anak saya turut menyayanginya."

Dalam satu kejadian, James telah datang ke rumah Bernadine dan kemudiannya menonton televisyen bersama Pete, suami Bernadine. Ketika satu adegan iaitu seorang penghantar surat muncul di kaca TV, Pete menyatakan “Nak, ini pekerjaan yang ayah takkan jadi.” 

James pula sambil mengerutkan keningnya menyatakan, “Saya rasa dulu saya seorang posmen.”
“Benarkah? Di mana?.”
“Saya tidak tahu.”
“New York?.”
“Saya tak pasti.
Tapi saya rasa saya sudah dapat mengingati sedikit tentang kedua ibu bapa saya” balas James.

Pada tahun 1985, kira-kira sebulan sebelum hari Krismas, Bernadine perasan yang James tidak seperti biasa. Dia berubah menjadi seorang yang pendiam dan seolah-olah fikirannya sedang terganggu. Pada 22 Disember, James telah terjatuh dan kepalanya terhantuk. Keesokan harinya, sekali lagi dia terjatuh dan kepalanya juga terhantuk ketika dia berada di tempat kerjanya. Pada 24 Disember, dia terjaga pada hari itu dalam keadaan yang bingung. Namun tiba-tiba senyuman terukir di bibir. Dia bahagia. Selepas hampir 15 tahun, ingatannya sudah kembali. Aku adalah James A. McDonnell. Anne?. Ya! Nama isteri aku Anne. Adakah Anne masih hidup? Dia sudah berkahwin lain? Jantungnya seakan mahu terhenti. James takut.

Anne menyalakan lilin dan seperti hari Krismas yang lalu, doanya untuk James tidak pernah terhenti meniti di bibirnya. Walaupun sudah berbelas tahun berlalu, dia masih setia menunggu James pulang ke pangkuannya. Selepas itu, dia yang sudah bersiap untuk makan malam bersama kakaknya mendengar bunyi loceng di pintu rumahnya. Dia ralat. Ini bukan masanya untuk menerima tetamu.

Namun pintu tetap juga di buka. Seorang lelaki dengan janggut putih yang tebal muncul di hadapannya. Anne tergamam. Tidak mampu berkata-kata. Melihat Anne hati James bahagia.
Hello Anne.” Sapa James.
James. Betul ke ni?” Nafas Anne tersekat-sekat seperti dia sedang berlari. “Saya gembira awak sudah pulang. Masuk. Masuk.” Anne kemudiannya memimpin tangan James ke tempat duduk kegemarannya. Mereka berborak sehinggalah mata James semakin berat. Letih namun dia gembira dan akhirnya dia tertidur. Selepas hampir 15 tahun, James kembali ke rumah dan bersatu semula dengan isterinya.

Sehari selepas Krismas, James telah melaporkan kepulangannya kepada pihak polis dan pada petang itu, wartawan dari New York Daily News telah menghubungi Bernadine untuk memberitahunya yang James dalam keadaan baik dan telah bersatu semula bersama isterinya.



Post a Comment

3 Comments

  1. susah juga pandai hilang ingatan ya james..tapi aku selalu lupa bayar hutang ja 😂

    ReplyDelete